GISBH: 29 lagi individu direman - Utusan Malaysia

GISBH: 29 lagi individu direman

GISBH
ANTARA ahli GISBH yang dibawa untuk mendapatkan perintah reman dekat Mahkamah Majistret, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 29 lagi individu disyaki mempunyai kaitan dengan GISB Holdings (GISBH) direman bagi membantu siasatan berhubung pengekploitasian termasuk pemerdagangan kanak-kanak.

Perintah reman antara satu hingga tujuh hari itu dibenarkan Timbalan Pendaftar Md. Subri Hashim di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mereka yang direman berusia 19 hingga 62 tahun itu terdiri daripada 13 lelaki dan 16 wanita.

Terdahulu, kesemua individu berpakaian lokap berwarna ungu dan jingga itu tiba dengan menaiki beberapa kenderaan polis dengan dikawal ketat anggota keselamatan, kira-kira pukul 11 pagi.

Mereka yang diwakili peguam Shalehuddin Salam dibawa untuk tahanan di Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Subang Jaya dan Petaling Jaya.

Siasatan dijalankan mengik Seksyen 31 (a) Akta Kanak-kanak 2001, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.

Semalam, seramai 155 individu termasuk 77 wanita yang disyaki terlibat dengan GISBH diberkas dalam Op Global di Semenanjung Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan kesemua individu itu ditahan dalam serbuan di 82 premis melibatkan rumah amal, klinik premis perniagaan, ma’ahad dan rumah persendirian.

Kesemua tangkapan dibawa ke formasi masing-masing dan disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Dalam operasi itu, seramai 186 mangsa terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita turut berjaya diselamatkan termasuk seorang kanak-kanak yang tular dirotan seorang lelaki dipercayai ahli GISBH.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut merampas termasuk risalah mengandungi elemen yang dipercayai bercanggah dengan ajaran agama Islam serta barang khurafat.

Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan seluruh agensi agama Islam di Selangor bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan semua pihak yang terlibat dalam kesalahan jenayah disyaki berkaitan GISBH diheret ke mahkamah.

Selain itu, baginda menitahkan semua rumah amal dan sekolah Islam bawah kawalan GISBH serta rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terbabit apa-apa kegiatan jenayah, termasuk jenayah syariah, ditutup segera dan tidak dibenarkan beroperasi di Selangor.

Khamis lalu, Pengerusi Eksekutif GISBH dan isterinya antara 19 individu yang direman seminggu bagi membantu siasatan kes berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya