GISBH: 17 individu pegang jawatan tinggi antara 200 ditahan polis

GISBH: 17 individu pegang jawatan tinggi antara 200 ditahan polis

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 17 individu yang memegang jawatan tinggi di Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) antara 31 tangkapan yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam operasi sejak 18 September lalu.

Penahanan kesemua mereka dilakukan di sekitar Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Kedah iaitu di Sempadan Malaysia-Thailand.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, susulan tangkapan itu menjadikan jumlah terkini mereka ditahan membabitkan GISBH adalah seramai 200 orang.

“Manakala seramai 139 orang suspek yang ditahan sebelum ini telah disambung reman manakala 23 orang lagi diberi jamin polis atas sebab tertentu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 36 kertas siasatan telah dibuka termasuk tiga penambahan kes pada 17 September lalu di Kuala Pilah, Negeri Sembilan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.

“Serta satu di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) di Sungai Kapar, Selangor.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak lapan kertas siasatan melibatkan tujuh suspek telah berjaya dituduh dengan 29 pertuduhan,” jelasnya.

Beliau menambah, kesemua mangsa berusia 18 tahun yang diselamatkan akan diserahkan kepada waris manakala yang berusia 18 tahun ke bawah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Seksyen 25(2) Akta Kanak-kanak 2001.

Razarudin berkata, PDRM sedang giat dan kekal komited dalam melaksanakan siasatan terperinci dalam operasi ini.

“Orang ramai juga dinasihati agar tidak membuat sebarang spekulasi sementara siasatan masih berlangsung.

“Mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil membuat laporan bagi sekian kalinya di mana-mana balai polis berhampiran bagi melengkapkan siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN