GISB disiasat ekoran empat laporan polis di Selangor - Utusan Malaysia

GISB disiasat ekoran empat laporan polis di Selangor

TIMBALAN Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay (kiri)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Global Ikhwan Sdn. Bhd. (GISB) kini dalam pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan empat laporan berkaitan eksploitasi kanak-kanak.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, syarikat tersebut dikenal pasti antara lapan dalam pemantauan pihak Cawangan Khas (SB).

Katanya, pihaknya kini menjalankan pemantauan terhadap organisasi tersebut susulan empat laporan polis tersebut dibuat di Selangor di bawah Seksyen 32 (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Laporan tersebut dipercayai berkaitan eksploitasi kanak-kanak untuk pungut dana, derma dan sebagainya, mungkin ada lain (laporan) yang sedang dikumpulkan.

“Kalau kita lihat daripada senarai (ajaran sesat) yang dikeluarkan sama ada oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) ada 154 yang sesat.

“Bagaimanapun yang dipantau pihak SB ada 114 jadi mungkin ada pertindihan namun 14 dikesan paling aktif manakala lapan dalam pemantauan. Yang ini (GISB) termasuklah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Perbarisan dan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswi Universiti Awam ke -20 Tahun 2024 di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, modus operandi syarikat tersebut dikesan dengan mengeksploitasi melalui penubuhan rumah amal kebajikan bagi tujuan kutipan derma.

Jelas beliau, terdapat maklumat mengatakan mereka tidak mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain dikenakan tindakan kuarantin sekiranya ahli melakukan kesalahan kecil.

“Kumpulan ini ahlinya merangkumi semua orang termasuk golongan profesional. Pengaruh mereka tersebar luas. Kalau kita tidak kuat, mungkin akan terpengaruh,” ujar beliau.

Menurut Ayob Khan, dari 2022 hingga Ogos lalu, sebanyak 80 laporan polis melibatkan seramai 122 tangkapan berkaitan ajaran sesat di seluruh negara.

“Ia satu proses yang berterusan dan kita akan terus memantau selain bekerjasama rapat dengan JAIN dan Jakim bagi memastikan ajaran sesat dapat dibanteras secara habis-habisan,” katanya.

Media semalam melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengesahkan akan mengadakan sesi libat urus dengan wakil syarikat GISB.

Difahamkan ia ekoran pelbagai dakwaan terpalit dengan syarikat yang didakwa ada kaitan dengan ajaran sesat al-Arqam dan Rufaqa, antaranya mengeksploitasi agama dan kanak-kanak untuk meminta derma serta menjalankan perniagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya