Geng Ah Boon guna vest TNB pecah rumah waktu siang tumpas

Geng Ah Boon guna vest TNB pecah rumah waktu siang tumpas

WAN Azharuddin Wan Ismail (kiri) menunjukkan peralatan pecah rumah yang dirampas susulan penahanan Geng Ah Boon dalam sidang akhbar di IPD Kuala Muda, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kegiatan ‘Geng Ah Boon’ yang aktif melakukan jenayah pecah rumah sejak Januari lalu berakhir dengan penahanan empat suspek termasuk ketuanya dalam serbuan di sekitar daerah ini pada 27 Ogos dan 1 September lalu.

Kumpulan dianggotai lima lelaki berketurunan Cina dan Melayu itu menggunakan modus operandi dengan memakai vest tertera Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan menaiki kereta Honda Accord untuk melakukan aktiviti pecah rumah yang tidak berpenghuni pada waktu siang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, tangkapan empat suspek berumur 29 hingga 45 tahun itu sekali gus menyelesaikan tujuh kes pecah rumah, satu kes pecah pejabat dan satu kes curi kenderaan di daerah ini.

Bagaimanapun, seorang lagi suspek sedang diburu selepas pihaknya menerima laporan berkaitan kes pecah rumah dan curi kenderaan di Taman Setia pada 27 Ogos lalu.

“Polis melancarkan operasi dan berjaya menahan dua lelaki tempatan serta merampas sebuah kereta dan peralatan pecah rumah pada hari kejadian.

“Siasatan lanjut membawa kepada rampasan barangan disyaki hasil kegiatan pecah rumah seperti barang kemas, wang tunai, jam pelbagai jenama, telefon bimbit, komputer riba, beg tangan, produk kesihatan, minyak wangi dan surat pajak gadai,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Kuala Muda di sini hari ini.

Kata beliau, penahanan dua lelaki tersebut telah membawa kepada tangkapan dua lagi rakan jenayah mereka pada Ahad lalu.

“Dua daripada suspek berumur 29 dan 33 tahun turut positif methamphetamine selain salah seorang mempunyai 21 rekod lampau berkaitan jenayah dan enam berkaitan dadah sementara seorang lagi memiliki lapan rekod jenayah dan tiga rekod dadah.

“Turut dirampas adalah sebuah kereta jenis Honda Accord yang digunakan mereka selain sebuah kereta Perodua Myvi yang dilarikan dari rumah mangsa,” katanya.
Beliau berkata, kumpulan itu turut mengaku melakukan jenayah sama di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang dan Taiping, Perak.
Katanya, kesemua suspek kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjarakan selama lima tahun dan denda jika sabit kesalahan selain boleh disebat jika kesalahan itu dilakukan kali kedua dan seterusnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN