PETALING JAYA: Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga (Hawa) Malaysia menggesa pihak berwajib untuk menggempur semua rumah kebajikan amal yang beroperasi secara meragukan.
Pengerusi Hawa Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, turut mempersoalkan bagaimana rumah kebajikan sedemikian boleh beroperasi sehingga berlaku penganiayaan terhadap kanak-kanak.
Jelasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu terus menyiasat dengan segera dan membawa mereka terbabit ke pangkuan keadilan.
“Gempur semua pusat operasi mereka yang diragui, jangan tinggalkan ruang untuk keadaan ini berulang kembali. Semoga anak-anak yang menjadi mangsa dapat diberikan sokongan mental dan fizikal untuk dipulihkan supaya dapat kembali meneruskan hidup yang lebih berkualiti.
“Kami ingin bertanya, di manakah silapnya, apakah yang pincangnya, siapakah yang terlepas peduli, bila waktunya bermula kekaburan yang menjadi pemboleh keadaan penganiayaan kanak-kanak ini berlaku di hadapan mata kita?
“Pada akhirnya, saya percaya, setiap ahli masyarakat tidak kira yang diberikan kuasa atau yang sekadar memikul kewajipan menjaga, adalah bertanggungjawab secara kolektif untuk melindungi anak-anak kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Shahrizat berkata, sudah tiba masanya kerajaan mempunyai satu pasukan tetap untuk menjadi penggempur dan pemerhati operasi rumah-rumah amal yang berselindung di balik tirai kebajikan dan agama.
“Libatkan semua pemegang taruh yang berupaya menjadikan pasukan ini lebih efektif dan responsif. Berikan pasukan ini kuasa yang membolehkan mereka menjalankan tugas dengan pantas dan tepat.
“Masa depan anak-anak kita adalah justifikasi yang paling kukuh kepada kerajaan memperuntukkan lebih sumber tenaga dan masa untuk mewujudkan pasukan fokus yang berautoriti ini. Kita tidak boleh biar perkara zalim dan keji ini berulang lagi,” tegasnya.
Semalam, polis menyerbu 20 rumah amal masing-masing 18 buah di Selangor dan dua di Negeri Sembilan kerana disyaki terlibat dengan pengabaian serta penganiayaan, amang seksual dan juga perbuatan cabul terhadap kanak-kanak berusia antara satu tahun hingga 17 tahun.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pada 2 September lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan polis berkaitan dakwaan itu di Port Dickson dan beberapa laporan sama turut dibuat di beberapa tempat selepas itu.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat tersebut, PDRM membuka lapan kertas siasatan membabitkan empat di Selangor dan empat di Negeri Sembilan.
Antara modus operandi yang disyaki dijalankan di premis tersebut adalah mangsa diajar dan dididik cara-cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat pula oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain. – UTUSAN