SEPERTI yang dijanjikan, malam Sabtu, 14 September 2024 lalu terpahat bingkisan sejarah bermakna dalam kalendar muzik tanah air apabila kumpulan legenda dari negara matahari terbit, Loudness hadir menggegarkan pentas Zepp, Kuala Lumpur.
Biarpun sudah tiga kali mengadakan persembahan di Malaysia (2011, 2017 dan 2019) namun kelibat serta aura mereka masih ditagih sehingga kini susulan punyai kelompok peminat yang terdiri dari pelbagai golongan dan generasi.
Kumpulan legenda yang berpangkalan di Osaka, Jepun ini boleh dikategorikan sebagai ‘godfather’ malah tidak keterlaluan melabelkan mereka sebagai pencetus irama heavy metal di rantau asia, setanding kumpulan dari barat di era 80-an dahulu.
Dianggotai oleh Minoru Niihara (vokal), Akira Takasaki (gitar), Masayoshi Yamashitta (bass) dan Masayuki Suzuki (drum), dilihat berjaya melengkapkan malam tersebut dengan ‘set list’ serta penataan neon dan bunyi terbaik mereka.
Aksi dan penampilan pula tidak perlu dipertikaikan, segalanya terbukti apabila mereka mampu mendominasi pentas melaksanakan tugas dengan baik dengan 20 buah lagu yang dipersembahkan pada konsert tersebut.
Gelombang heavy metal yang dibawa bukan sekadar untuk ‘melayan kepala’, tetapi yang lebih memberi keterujaan apabila persembahan malam itu dilatari aksi mantap sekaligus mengimbau semula zaman kegemilangan mereka.
Loudness memastikan magisnya tidak hilang ditelan zaman, malah selepas hampir empat dekad, mereka masih mampu memberi sentuhan kematangan yang dilihat berbeza daripada sebelumnya.
Like Hell, Heavy Chains, Dream Fantasy, So Lonely, In This World Beyond dan Pharaoh antara karya yang cukup terkesan di jiwa peminat.
Tidak sekadar menadah telinga, tetapi pentas buat penonton meraikan idola mereka Meletakkan tarikh ini sebagai momen indah dan bersejarah buat peminat di Malaysia, Loudness lantas memberi bayangan ini mungkin merupakan persembahan terakhir mereka sebelum bersara atas faktor usia dan sebagainya.
Terjemahan melalui kehadiran peminat juga cukup memberangsangkan apabila lebih 2,000 penonton memenuhi ruang Zepp pada malam itu.
Pengarah Urusan Rockstage Entertainment, Talib Othman memanjatkan rasa syukur atas perjalanan konsert yang berlangsung, baginya walaupun rumit, tetapi sokongan padu peminat menjadi teras dan kekuatan dirinya.
Menguruskan persembahan daripada sebuah kumpulan asing bernama besar tidaklah mudah, pelbagai kesulitan dan risiko perlu dihadapi terutamanya melibatkan urusan dokumentasi, logistik dan sebagainya.
“Ramai yang menganggap membawa artis luar ke Malaysia bukanlah perkara baharu, tetapi kena lihat dari konteks berbeza, contohnya siapa artis itu, apa genre muziknya. Walaupun Rockstage lebih menekankan artis dan kumpulan irama berat, namun ia perlu memenuhi selera penonton.
“Sebagai penganjur tak boleh syok sendiri. Perlu fikir kehendak penonton. Sebab itu kumpulan seperti Kreator dan Loudness berjaya dapat sambutan walau sudah berulang kali mengadakan persembahan di Malaysia,” ujarnya.
Menurutnya lagi tanpa kumpulan sokongan dan rakan strategik terutamanya, Lampu Neon yang bertungkus lumus membantu melancarkan perjalanan konsert dari awal hingga akhir pastinya apa yang dirancangkan tidak menjadi kenyataan.
Fenomena malam tersebut sekali gus menjadi penanda aras buat Rockstage Entertainment untuk melebarkan sayap pada masa hadapan.
Meletakkan misi penting pada tahun mendatang, kini pasukannya sedang dalam proses merisik untuk membawa beberapa buah nama besar lagi ke Malaysia.
“Insya-Allah, Rockstage akan cuba memenuhi selera peminat dengan membawa lebih banyak lagi artis-artis luar pada masa hadapan.
Sekarang ini banyak juga maklum balas yang diterima malah ketika ini sudah ada beberapa artis yang menyuarakan minat mereka untuk beraksi di Malaysia” katanya.