Gambar rumah Ebit Lew jadi bahan bukti di mahkamah

Gambar rumah Ebit Lew jadi bahan bukti di mahkamah

EBIT Lew (kanan) semasa menghadiri perbicaraan kes gangguan seksual di Mahkamah Majistret Tenom, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENOM: Jurugambar Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa 35 keping gambar rumah tertuduh, Ebit Lew antara gambar yang diambil dalam kes gangguan seksual melibatkan pendakwah terkenal itu.

Jurugambar yang juga saksi ke-10, Koperal Shahrul Sanudin memberitahu, semasa diarahkan untuk mengambil gambar tempat kejadian yang terletak di Shah Alam, Selangor dia tahu itu adalah rumah tertuduh.

Kata saksi itu, dia diberitahu oleh Pegawai Penyiasat, Deputi Superintendan Noor Asyikin Shamsuri bahawa rumah tersebut adalah rumah tertuduh.

Dalam 35 keping gambar dalam P-57 (1-35) itu, saksi mengambil gambar bilik tingkat atas, gambar sisi dan tepi katil, gambar kepala katil dan corak wallpaper dinding, gambar bilik air dan gambar ruang bilik kedua dan ketiga.

Melalui keterangannya, Shahrul menyatakan, dia pergi ke rumah tertuduh bersama pegawai D11 iaitu Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak serta pasukan forensik Bukit Aman.

Walau bagaimanapun, saksi memberitahu dia tidak ingat nama pegawai D-11 berkenaan kerana dia hanya mengenali pegawai penyiasat. Malah, dia tidak tahu tujuan pegawai D-11 ke rumah tertuduh.

“Saya hanya tahu pergi ke tempat kejadian untuk mengambil gambar,” katanya semasa sesi pemeriksaan balas.

Shahrul menyatakan `tidak’, apabila ditanya oleh peguam bela, Datuk Ram Singh sekiranya saksi ada mengambil gambar di Tenom.

Mengenai barang kes yang rampas dari rumah tertuduh, saksi memberitahu, dia tidak pasti apa yang dirampas oleh pegawai penyiasat kerana dia hanya diarahkan untuk mengambil gambar.

Dalam pemeriksaan semula, saksi memberitahu Timbalan Pendakwa Raya, Analia Kamaruddin bahawa gambar barang yang dirampas iaitu telefon bimbit milik tertuduh diambil di Pejabat D-11 Bukit Aman.

Sementara itu, saksi ke-11, jurugambar PDRM, Koperal Husni Haris Ramli @ Fauzi mengemukakan dua cakera padat (CD) kepada mahkamah yang mengandungi gambar telefon bimbit, kad sim dan kad memori.

Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew,38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.

Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin manakala, Ebit diwakili peguam Ram, Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak, Kamarudin Mohmad Chinki dan Timothy Daut.  –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya