Gaduh isu parkir: Pembekal sayur tidak mengaku salah sebabkan kecederaan

Gaduh isu parkir: Pembekal sayur tidak mengaku salah sebabkan kecederaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pembekal sayur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan parah kepada seorang mangs adan memiliki senjata berbahaya di tempat awam, minggu lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, Wan Kei Fei, 28, didakwa sengaja mendatangkan cedera parah ke atas Muhammad Aidiel Zulhimi Mohammad Yusri, 24, dengan menggunakan sebilah pisau.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 5.30 petang, di satu unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Kepong Kuala Lumpur, di dalam daerah Sentul, 4 September lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki satu bilah pisau pemotong sepanjang 32 sentimeter tanpa kebenaran atau maksud yang sah di tempat dan waktu yang sama.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan senjata berbahaya 1958 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Ikhwan Mohd. Nasir tdak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana pertuduhan yang dikenakan terhadap Kei Fei merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.

“Kes ini telah sampai ke pengetahuan umum dan mangsa telah cedera parah disebabkan kes tersebut,” kata Mohammad Ikhwan.

Bagaimanapun, peguam bela, Mohamad Zaidi Othman yang mewakili tertuduh memohon satu jumlah ikat jamin yang munasabah atas alasan anak guamnya menanggung dan menjaga kedua-dua ibu bapanya serta mempunyai penyakit tiga serangkai.

Hakim Azrol Abdullah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 11 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, tular beberapa klip video media sosial sejak minggu lalu memaparkan pergelutan dan pergaduhan melibatkan dua individu terbabit sambil dileraikan oleh orang awam dipercayai berhubung isu parkir berlapis.

Seorang lelaki menerima 35 jahitan di kepala dan tangan sebelah kiri akibat insiden terbabit.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner (ACP) Ahmad Sukarno Mohd. Zahari dilaporkan berkata pihaknya menahan tertuduh yang bekerja di Pasar Borong Selayang dengan bantuan orang awam di tempat kejadian, pada hari sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN