SHAH ALAM: “Pasport dan visa saya sudah diserahkan kepada ejen untuk diperbaharui namun belum diterima sehingga kini,”.
Demikian antara rintihan seorang bekas pelajar sekolah antarabangsa warga Sri Lanka yang menangis selepas ditahan di sebuah gudang pembungkusan barangan jualan e-dagang di Jalan Kebun di sini, hari ini.
Dakwa gadis yang mahu dikenali sebagai Shahani, 20, dia dibawa seorang ejen untuk bekerja di gudang berkenaan pada 2022.
“Saya kemudian memohon permit kerja melalui ejen itu dengan bayaran kira-kira RM3,000 sebelum ini. Semua dokumen berkaitan diberi pada Januari lalu tetapi tiada menerimanya setakat ini,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.
Tambahnya, dia memasuki Malaysia pada 2017 untuk menyambung pengajian 0-Level di sebuah sekolah antarabangsa di Klang dan tamat pada 2020 sebelum berfikir untuk terus bekerja di negara ini.
Dia antara 37 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan Jabatan Imigresen dalam serbuan di dua premis berasingan, kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati suasana ketika serbuan agak kecoh apabila segelintir warga asing bertempiaran lari dan bersembunyi di dalam stor dan tandas gudang tersebut.
Namun, usaha mereka gagal apabila dikepung dan membawa kepada penahanan seramai 37 Pati termasuk lapan wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Pemeriksaan mendapati mereka melakukan kesalahan tinggal lebih masa, tiada dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat pas.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha yang mengetuai serbuan berkata, pihaknya menjalankan siasatan mengenai kesalahan Pati itu termasuk melibatkan gadis Sri Lanka tersebut.
“Kami akan menyiasat lanjut kesalahan gadis itu sama ada berkaitan tiada dokumen atau tinggal lebih masa di negara ini.
“Siasatan dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” ujarnya. – UTUSAN