PONTIAN: Seorang peniaga merayu bantuan orang ramai bagi mengesan anak perempuannya berstatus orang kurang upaya (OKU) yang menghilangkan diri sejak tujuh hari lalu di Johor Bahru.
Azura Ahmad, 39, berkata, Nurul Najwa Muhammad Hasif, 22, hilang dari rumahnya di Taman Bukit Mewah, Tampoi pada pukul 7 malam, 9 September lalu dengan membawa beg duit yang turut mengandungi kad pengenalan dan kad OKU.
“Satu laporan polis telah dibuat pada 10 September lalu di Balai Polis Skudai setelah anak saya tidak pulang ke rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia di Pantai Telok Kerang, lokasi dia berniaga makanan, di sini.
Katanya, tiada sebarang perselisihan faham yang menyebabkan anak sulung daripada empat beradik itu tiba-tiba keluar tanpa memberitahu ke mana destinasi yang dituju.
“Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, Najwa kata nak cari kerja,” katanya.
Orang ramai yang mengetahui dimana Nurul Najwa berada boleh menghubungi Azura Ahmad ditalian 017-7156279. – UTUSAN