Fitnah Sultanah Nur Zahirah: Clare, dua pihak lagi gagal merayu 

Fitnah Sultanah Nur Zahirah: Clare, dua pihak lagi gagal merayu 

SULTANAH NUR ZAHIRAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, penerbit dan pencetak buku ‘The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose’ tetap perlu membayar ganti rugi RM300,000 kepada Sultanah Nur Zahirah kerana memfitnah Sultanah Terengganu itu dalam buku tersebut.

Perkara itu dimuktamadkan selepas ketiga-tiga pihak gagal mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan hari ini untuk merayu perintah Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Sultanah Nur Zahirah.

Panel tiga hakim diketuai Tan Sri P. Nallini berpuas hati persoalan undang-undang yang dibangkitkan gagal melepasi `ambang’ (threshold) yang diperuntukan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang mewajarkan kebenaran merayu diberikan.

Koram berkenaan turut berpendapat, persoalan undang-undang tersebut bukan melibatkan kepentingan awam atau baru pertama kali dibangkitkan yang memerlukan ia didengar dan diputuskan oleh mahkamah tertinggi negara.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera turut memerintahkan kos RM15,000 dibayar kepada Sultanah Terengganu.

Ketika menyampaikan keputusannya, Hakim Nallini berkata, meskipun buku berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana ia merupakan asas kepada pendedahan berkaitan 1MDB, ia tidak memberikan imuniti kepada penulisnya apabila melibatkan fitnah kepada pihak ketiga.

Beliau berpuas hati, semua pihak adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat layanan setara daripada mahkamah.

“Fakta bahawa responden merupakan kerabat diraja bukan satu halangan kepada Baginda untuk mengemukakan tuntutan saman dan dilayan sama rata seperti orang awam lain.

“Latar belakang Baginda tidak sepatutnya menjadi pertikaian kerana semua pihak sama di sisi undang-undang,” demikian jelas Hakim Nallini.

Panel berkenaan turut berpendapat, jika kebenaran merayu diberikan sekali pun, prospek bahawa rayuan itu akan memihak kepada Clare dan dua yang lain adalah tipis.

Pada prosiding itu, peguam Americk Singh Sidhu berhujah mewakili Clare dan dua yang lain sementara A. Vishnu Kumar bagi pihak Sultanah Nur Zahirah.

Clare memohon kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati beliau, penerbit Gerakbudaya Enterprise Chong Ton Sin, dan pencetak Vinlin Press Sdn. Bhd. bertanggungjawab memfitnah Sultanah Nur Zahirah dalam buku berkenaan.

Pada 12 Disember 2023, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2022, yang menolak tuntutan saman RM100 juta oleh Sultanah Nur Zahirah terhadap ketiga-tiganya.

Mahkamah Rayuan memutuskan, pada masa penerbitan buku itu, kenyataan tersebut adalah bertujuan untuk memperlekehkan Sultanah Terengganu kepada kebencian, sindiran, atau penghinaan.

Panel berkenaan berpendapat, Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes itu terkhilaf apabila membatalkan saman tersebut dan memerintahkan Clare dan dua lagi untuk membayar kos sebanyak RM120,000.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 2018, Sultanah Nur Zahirah mendakwa Clare membuat pernyataan yang yang antara lain menggambarkan Baginda terlibat dalam amalan rasuah, mencampuri pentadbiran Terengganu selain menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) yang kemudian menjadi 1MDB.

Sultanah juga didakwa merupakan individu yang memperkenalkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum dilantik menjadi penasihat TIA.

Merujuk kepada pembelaan Clare, beliau mengaku tersilap apabila menyatakan bahawa Sultanah Nur Zahirah yang memperkenalkan Jho Low kepada Sultan Terengganu walhal yang berbuat demikian ialah adindanya, Tengku Datuk Rahimah Sultan Mahmud. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN