ALOR SETAR: Sebanyak 701 penumpang feri dari Kuala Kedah, di sini ke Langkawi terkandas ekoran cuaca buruk dengan ombak setinggi empat meter di perairan negeri ini, hari ini.
Pegawai Operasi Ferry Line Kuala Kedah, Ahmad Azizan Aziz berkata, penumpang yang terkandas melibatkan tiga trip feri berkenaan iaitu pukul 1.30 tengah hari, 2 dan 2.30 petang.
“Feri pada pukul 1.30 tengah hari sudah berlepas, namun terpaksa berpatah balik ke Terminal Feri Kuala Kedah 30 minit selepas itu dan tidak dapat ke Langkawi kerana cuaca tidak mengizinkan.
“Disebabkan keadaan laut yang sangat bergelora, kapten feri mengambil tindakan untuk berpatah balik. Kemudian kita membuat keputusan untuk membatalkan trip pada pukul 2 dan 2.30 petang kerana ombak masih kuat.
“Sebanyak 701 penumpang terlibat iaitu 120 penumpang feri pukul 1.30 tengah hari, trip 2 petang (151 penumpang) dan 2.30 petang (430 penumpang),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menambah, terdapat sebanyak lapan trip feri dari Terminal Feri Kuala Kedah hari ini iaitu lima trip yang berlepas pada pukul 7.30; 8; dan 10 pagi serta 12 dan 1 tengah hari selamat sampai ke Langkawi.
“Kami menasihatkan penumpang yang terjejas untuk menukar tiket mereka ke waktu lain atau menuntut kembali wang melalui saluran ditetapkan.
“Kita akan memantau keadaan semasa di laut bagi jadual feri untuk esok dan perkembangan terkini akan diberitahu dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN