Feri batal: Pelancong keluar belanja lebih

Feri batal: Pelancong keluar belanja lebih

SEBAHAGIAN penumpang yang terkandas kerana perjalanan feri dibatalkan berikutan cuaca buruk di Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi semalam. – UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Pelancong yang sepatutnya pulang melalui Terminal Feri Kuala Kedah, dekat sini terpaksa mengeluarkan belanja lebih apabila perjalanan feri dibatalkan berikutan cuaca buruk.

Seorang pelancong dari Kempas, Johor, Muhammad Naim Ciksuri, 26, berkata, dia sepatutnya pulang pada pukul 12.30 tengah hari, namun dimaklumkan oleh ejen pelancongan bahawa perjalanan feri yang ditempah mereka dibatalkan.

Ujarnya, dia terpaksa mengeluarkan kos tambahan bagi penginapan dan kereta sewa, serta perjalanan dari Kuala Perlis ke Kuala Kedah kerana keretanya ditinggalkan di Kuala Kedah.

“Kami ke kaunter di Terminal Feri Penumpang Kuah untuk mendapatkan pemulangan semula duit namun diminta untuk berurusan melalui aplikasi dalam talian.

“Akhirnya kami membuat keputusan untuk beli sahaja tiket melalui Kuala Perlis dan kami dapat tiket pukul 1 tengahari esok,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang lagi pelancong dari Alor Setar, Nadia Nursyahirah Shahidan, 18, berkata, dia menghubungi kaunter feri pada pukul 12 tengah hari semalam dan dimaklumkan feri ke Kuala Kedah beroperasi seperti biasa.

“Jadi kami pun datang ke jeti untuk menaiki feri yang dijadualkan pada pukul 2 petang sebelum mendapati trip feri tersebut dibatalkan.

“Tiket feri hari ini ke Kuala Perlis juga sudah habis dan kami hanya dapat membeli tiket pukul 11 pagi Jumaat,” katanya.

Tambahnya, dia bersama seorang lagi rakannya akan menumpang di rumah ibu mentua kakaknya yang dalam perjalanan ke Langkawi dari Kuala Perlis.

Dia juga memaklumkan tidak berani hendak membeli tiket Kuala Kedah kerana diberitahu terminal feri tersebut kini ditenggelami air akibat feno­mena air pasang. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN