PETALING JAYA: Tatkala diri dihenyak kontroversi perceraian, pelakon jelita, Nur Fazura sempat meluahkan rasa rindu terhadap arwah bapa, Sharifuddin Adnan pada hari ulang tahun kelahirannya.
Fazura menerusi sebuah hantaran di Instagram, telah memuat naik foto kenangan bersama arwahnya yang sudah disunting seperti mereka sedang berpelukan menggunakan teknologi AI.
Dalam hantaran tersebut, pelakon wanita itu juga menggunakan lagu Disaat Sendiri nyanyian Sharon Yang diiring emoji bentuk hati yang berbalut dan ros merah yang menggambarkan dirinya sedang sakit menahan rindu terhadap arwah bapanya.
Tersentuh dengan perkongsian tersebut, rata-rata peminatnya turut menitipkan kata semangat di ruangan komen.
“Rindu pada yang telah tiada adalah rindu yang tiada penghujungnya. Al-Fatihah,” komen seorang peminatnya.
“Selamat ulangtahun, Faz. Al-Fatihah buat arwah papa awak,” komen seorang lagi pengikutnya.
“Menangis saya. Sangan mendalam Kak Faz, sayang. Masa macam ini kita akan teringat cinta pertama kita yang pasti takkan mengecewakan kita,” komen peminatnya.
“Macam mana Faz rindukan arwah ayah, macam tu nanti Fatima pun akan rindukan ayahnhya. Wallahu Alam,” komen seorang lagi pengikutnya.
Terdahulu, Fazura memberitahu dia nekad mahu berpisah dengan suaminya yang juga pelakon, Fattah Amin demi menjaga maruahnya sebagai seorang wanita dan kesejahteraan anak mereka, Nur Fatima Aisya.
Namun, Fattah ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada Rabu lalu tidak bersetuju untuk melafazkan cerai terhadap pelakon wanita itu kerana masih mahu mempertahankan rumah tangga mereka.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh baharu iaitu pada 7 Oktober depan untuk sebutan semula kes permohonan cerai pasangan itu.
Pada 13 September lalu, Fazura telah mengejutkan ramai pihak selepas memfailkan perceraian terhadap Fattah di mahkamah yang sama tanpa memaklumkan perincian sebab mahu berpisah.
Fazura dan Fattah telah berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Fatima. -UTUSAN