PETALING JAYA: Pasangan pelakon Nur Fazura dan Fattah Amin dilihat tenang menjalani kehidupan masing-masing meskipun sudah menimbulkan pelbagai dakwaan berkenaan rumah tangga mereka.
Malah, pasangan serasi itu juga memilih untuk mengunci mulut biarpun diasak pelbagai spekulasi berkenaan status rumah tangga mereka sehingga kini.
Dalam perkongsian terbaharu di Instagram, Fazura telah memuat naik videonya yang berlatar belakangkan kata-kata menggambarkan dirinya tidak tergugat dengan kelebihan orang lain.
“Saya tidak kisah siapa yang lebih bagus berbanding saya sebab saya sudah lakukan yang lebih baik dari tahun lepas. Hanya saya berlawan dengan diri saya,” kongsinya.
Perkongsian itu juga diikuti dengan kata-kata seolah-olah pelakon wanita itu mempunyai jalan tersendiri untuk mengendalikan kehidupannya di ruangan kapsyen.
“I ride my own wave, not a soul out here I wanna be like (saya menunggang arus saya sendiri, bukan mahu menjadi seperti jiwa di luar sana),” katanya.
Sementara itu, di ruangan Instagram Fattah pula dilihat tenang dan tiada sebarang perkongsian yang memberi reaksi terhadap setiap hantaran isterinya itu.
Fattah bagaimanapun hanya kerap berkongsi video yang mempromosikan drama bersiri lakonannya, Lelaki Melayu Terakhir dan sesi podcast yang dikendalinya menerusi platform YouTube.
Terdahulu, timbul dakwaan bahawa rumah tangga Fazura dan Fattah sedang bergolak selepas jarang kelihatan bersama sama ada di media sosial mahu pun di mana-mana acara.
Lebih menguatkan lagi dakwaan tersebut, Fazura sebelum ini pernah memuat naik babak daripada Filem Crazy Rich Asians menunjukkan watak Astrid Leong lakonan Gemma Chan yang akhirnya membuat keputusan untuk berpisah dengan suaminya, Michael Teo.
Fazura bagaimanapun pernah menegaskan bahawa rumah tangganya bersama Fattah baik-baik sahaja dan mereka lebih selesa untuk menjaga privasi keluarganya.
Umum tahu, Fazura dan Fattah pernah digelar sebagai pasangan serasi selepas mendedahkan status hubungan mereka kepada umum pada tahun 2017 sehingga mencetuskan fenomena FattZura.
Untuk info, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada tahun 27 November 2017 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya, 3. -UTUSAN