PETALING JAYA: Pelakon, Fattah Amin, dilaporkan tenang di set penggambaran sepanjang berita keretakan perkahwinannya diperkatakan ramai.
Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 33, yang sedang menjalani penggambaran projek supertele komedi romantik, 11 Cinta Sebelum Kamu, tidak pernah buka mulut baik tentang rumah tangga atau mengenai isterinya, Nur Fazura.
“Fattah tidak menunjukkan apa-apa respons atau tindak tanduk yang pelik. Dalam set dia nampak fokus kepada kerja. Dia juga beri kerjasama yang baik dengan semua orang di set penggambaran.
“Di luar set, dia akan ke surau dan pergi makan. Waktu itu pun dia masih nampak tenang,” menurut sumber ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Walaupun semua kru dan pelakon di set penggambaran mengetahui desas desus mengenai rumah tangga Aktor Terbaik World Film Carnival 2021 itu, namun masing-masing menghormati Fattah dan enggan bercakap mengenainya.
“Setakat ini Fattah tidak buka mulut mengenai hal peribadi. Semua orang di produksi juga tidak bercakap mengenai hal peribadi Fattah.
“Perkara itu yang membuatkan Fattah boleh fokus,” jelasnya.
Terdahulu, Fazura disahkan sudah memfailkan perceraian terhadap Fattah sehari sebelum ulang tahun kelahirannya di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, pada Jumaat.
Fazura bagaimanapun enggan mendedahkan kepada orang ramai punca penceraian.
Fazura dan Fattah telah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya, 3. -UTUSAN