PETALING JAYA: Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula Selasa depan dan berterusan sehingga awal November,i sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 17 Mei lepas.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah semasa fasa peralihan monsun.
“Situasi ini boleh menggalakkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat beserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat, terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.
“Keadaan cuaca sebegini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur tanah yang tidak kukuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh itu dan sentiasa peka dengan ramalan serta amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Met Malaysia.
Katanya, ia sama ada melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Met Malaysia.
“Orang ramai juga boleh menghubungi hotline jabatan 1-300-2201638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya. – UTUSAN