Fahmi dedah ada syarikat jual projek bangunkan Internet kepada pihak lain

Fahmi dedah ada syarikat jual projek bangunkan Internet kepada pihak lain

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mendedahkan terdapat beberapa syarikat yang bertindak menjual projek pembangunan dan naik taraf Internet yang diterima oleh mereka kepada pihak lain.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai jumlah syarikat yang berbuat demikian dan lokasi sebenar ianya berlaku.

Tegasnya, setiap syarikat mahupun kontraktor yang telah dilantik oleh kementerian seharusnya melaksanakan dan menyiapkan projek mengikut garis masa ditetapkan.

“Saya tidak menyentuh negeri mana tapi perkara itu telah berlaku dan saya minta pasukan untuk meneliti (kerana) kita tidak mahu apa-apa kelewatan.

“Isunya syarikat sebelum ini ada yang mendapat projek, ada di beberapa tempat, setelah mereka dapat kontrak mereka tidak laksanakan sehingga lah kami bagi amaran paling keras.

“Malah saya lihat dia (syarikat) yang dapat tapi dia mengaku dia jual kepada syarikat lain, macam mana syarikat itu dapat (projek) dahulu?,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Fahmi turut mendedahkan bahawa masalah yang timbul membabitkan syarikat tersebut berlaku sebelum beliau menjawat jawatan menteri di kementerian berkenaan.

Pada masa sama, beliau juga hairan bagaimana proses kelulusan berkaitan projek itu dimuktamadkan.

“Malangnya banyak keputusan ini sebelum saya, Timbalan Menteri (Teo Nie Ching) dan Ketua Setiausaha (KSU) masuk ke kementerian ini. Kita tidak tahu bagaimana beberapa keputusan itu dibuat.

“Tapi kita telah minta mereka (syarikat) supaya mempercepatkan proses, sekiranya mereka gagal maka ada tindakan berpandukan undang-undang yang boleh diambil, tapi setakat ini saya serahkan kepada KSU untuk meneliti dan melaksanakan penambahbaikan kepada pelaksanaan projek-projek tersebut,” ujarnya.

Ditanya sama ada kementerian akan mengambil tindakan untuk menyenarai hitamkan syarikat bermasalah itu, Fahmi memaklumkan ia merupakan antara perkara yang bakal dipertimbangkan.

Tambahnya lagi, syarikat yang dilantik perlu mempamerkan potensi terbaik mereka untuk melaksanakan serta menyiapkan projek bagi membendung isu ketirisan dan pembaziran wang rakyat.

“Saya lihat apa yang dilakukan sebelum ini menyerahkan jumlah yang terlalu besar kepada sebilangan kecil (syarikat) ini membahayakan bukan sahaja integriti, tapi juga pelaksanaan, bila terlalu banyak projek yang diusahakan oleh satu syarikat sahaja, sudah tentu syarikat itu tidak mampu melaksanakan dalam tempoh masa yang ditetapkan, jadi kita minta hal ini supaya diteliti semula dan mereka mesti menunjukkan kemampuan.

“Syarikat yang mendapat projek perlu menunjukkan kemampuan, kegagalan untuk melaksanakan projek seharusnya kita ambil tindakan yang lebih tegas dan pantas. Saya beri contoh beberapa projek yang sepatutnya siap pada Disember 2022 tapi sehingga hari ini masih tak siap lagi, jadi bagaimana syarikat ini dilantik?,” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN