Enam premis e-waste di Klang digempur, RM41.58 juta barang disita Enam premis e-waste di Klang digempur, RM41.58 juta barang disita

Enam premis e-waste di Klang digempur, RM41.58 juta barang disita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menggempur enam premis memproses barang logam, plastik dan sisa elektronik (e-waste) haram dengan rampasan bernilai RM41.58 juta di sekitar Pandamaran, Klang dekat sini pada 12 September lalu.

Operasi bersepadu itu dilakukan bersama Jabatan Keselamatan Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) melalui Risikan Utama Wildlife Crime Bureau/ Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman (AMLA), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Pemangku Pengarah KDNKA, Datuk Yusoff Mamat berkata, pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai kesalahan dilakukan premis-premis terbabit termasuk gagal mengemukakan dokumen sah untuk menjalankan aktiviti memproses di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, seramai enam warga tempatan manakala 43 warga asing berusia antara 22 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi tersebut.
“Warga tempatan dipercayai berperanan sebagai penyelaras serta koordinator yang mengambil keuntungan terhadap aktiviti dijalankan.

“Kilang yang beroperasi tanpa lesen dan tidak berdaftar itu telah mengaut keuntungan jutaan ringgit dan dikesan menggajikan warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pelupusan e-waste dan sisa plastik secara haram mengandungi bahan toksik boleh mengakibatkan komplikasi kesihatan yang serius kepada orang ramai yang terdedah kepada pencemaran tersebut.

Jelasnya, polis turut menemukan sejumlah bahan-bahan elektrik dan elektronik dipercayai e-waste untuk dikitar semula dan diproses bagi mendapatkan logam seperti tembaga, besi dan timah.

“Barangan tersebut telah disita dan rampasan dianggarkan bernilai RM41.58 juta,” katanya.

Yusof berkata, kesemua tangkapan dan rampasan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk tindakan selanjutnya.

“Kesalahan mengikut undang-undang kecil perlesenan tred, perniagaan dan perindustrian dikenakan kompaun oleh pihak MBDK untuk kesalahan menjalankan aktiviti memproses tanpa lesen,” katanya.

Katanya, JAS Selangor turut bertindak menyita dan mengeluarkan kompaun mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk kesalahan tiada sistem pengolahan efluen bagi aktiviti cucian plastik yang dihasilkan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN