Enam langkah  basmi ‘counter setting’ di KLIA - Shamsul

Enam langkah basmi ‘counter setting’ di KLIA – Shamsul

Shamsul Anuar Nasarah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan melakukan reformasi proses kerja dengan membabitkan enam langkah pertama bagi menutup modus operandi ‘counter setting’ di pintu pemeriksaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, JIM akan memulakan dengan melaksanakan pertukaran pusingan kerja bagi ketua, penyelia dan pegawai sebagai langkah pertama.

Pusingan kerja untuk ketua, penyelia dan pegawai akan dilaksanakan dengan segera untuk pegawai yang telah berkhidmat lebih dari tiga tahun. 

“Pegawai-pegawai berkaitan telah dikenal pasti dan arahan pertukaran akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan operasi harian di KLIA tidak terjejas,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Menurut beliau, langkah kedua, Prosedur Operasi Standard (SOP) meliputi aspek pengurusan kawalan keselamatan pintu masuk, pengurusan cap keselamatan dan pengurusan pemeriksaan pelawat akan disemak dan ditambah baik.

“Langkah itu perlu bagi menutup ruang dan peluang bagi pegawai memanipulasi dan mengambil kesempatan di atas ruang-ruang yang ada,” jelasnya.

Katanya, ketiga JIM akan meningkatkan penyeliaan dan pemantauan termasuk pemeriksaan mengejut ke atas ketua-ketua kumpulan dan pegawai bagi memastikan pematuhan arahan yang berkuat kuasa yang akan dilaksanakan secara berterusan oleh pegawai integriti dan penyelia. 

“Keempat, menambah baik sistem bagi membolehkan pemantauan dibuat ke atas transaksi yang dilakukan secara harian bagi mengesan transaksi-transaksi yang mencurigakan.

“Kelima, mempercepatkan proses pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang dilengkapi dengan visual dan audio di lokasi-lokasi strategik bagi pemantauan berterusan di bilik kawalan,” katanya.

Shamsul berkata, langkah keenam  JIM akan meningkatkan kerjasama strategik dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan lain-lain agensi dari masa ke semasa. 

Menurut beliau, KDN dan JIM sangat serius dalam membasmi kegiatan ‘counter setting’ dan tidak akan melindungi mana-mana yang terlibat dalam salah laku. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya