Empat rakan dipenjara 20 bulan, sorok kematian dua lelaki

Empat rakan dipenjara 20 bulan, sorok kematian dua lelaki

EMPAT rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, semalam atas tuduhan menyembunyikan kematian dua lelaki, tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Empat rakan dipenjara 20 bulan selepas mengaku bersalah menyembunyikan kematian dua lelaki yang mayatnya ditemukan dalam semak di tepi jalan Kampung Ujong Padang di Cheng di sini, Julai tahun lalu.

Majistret Khairunnisak Hassni membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Lok Kian Seng, 48; Daniel Ho Chin  Cher, 34; Woon Chee Weng, 45 dan Lim Chien Voon, 42, sejurus dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didapati bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, dengan sengaja dan mempunyai sebab untuk menghilangkan keterangan bagi suatu kesalahan dengan menyembunyikan kematian dua lelaki iaitu Stanley Chew Kok Kin, 23, dan Soo Yao Long, 26.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor di Taman Paya Rumput Perdana dalam daerah Melaka Tengah antara 7 dan 10 Julai 2023.

Sabit kesalahan, kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Peguam Nahdan Rengganathan Abdullah yang mewakili Daniel dan Chien Voon merayu hukuman ringan diberikan kepada dua anak guamnya dengan alasan mereka bekerja sebagai penjual buah serta penghantar makanan.

Tambahnya, mereka juga mengalami tekanan mental selepas dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan semasa sebutan pertama pada 11 Ogos tahun lalu.

Sementara itu, Kian Seng diwakili Peguam Asyraaf Abu Bakar Hamzah, manakala Chee Weng tidak diwakili peguam, masing-masing merayu agar hukuman diringankan dengan alasan merupakan penyara tunggal keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan dengan alasan tindakan tertuduh membuang mayat tersebut menyebabkan polis kehilangan peluang mencari punca kematian mangsa.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman 20 bulan penjara dari tarikh tertuduh ditangkap dengan tiga tertuduh ditahan pada 20 Julai 2023 dan Chien Voon pada 23 Julai 2023.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan mayat dua lelaki bertatu dipercayai dibunuh ditemukan dalam semak di tepi jalan Kampung Ujong Padang di Cheng.

Kedua-dua mayat ditemukan dibungkus di dalam kanvas yang diikat menggunakan tali kabel sebelum ditemui seorang penghantar barang runcit kira-kira pukul 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya percaya mangsa telah dibunuh di lokasi lain sebelum dibuang di kawasan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN