Empat premis GISBH diserbu di Pulau Pinang

Empat premis GISBH diserbu di Pulau Pinang

BEBERAPA anggota penguatkuasa dilihat sedang mengambil keterangan seorang lelaki dipercayai penghuni sebuah pusat jagaan yang diserbu kerana mempunyai kaitan dengan Al-Arqam di Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Empat premis termasuk dua buah rumah jagaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan syarikat Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) diserbu di tiga lokasi berbeza di Seberang Perai, hari ini.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohammad Abdul Hamid berkata, serbuan telah dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, keempat-empat premis tersebut ialah Rumah Jagaan Harapan Al Mahabbah di Nibong Tebal, Rumah Permata Kasih Taman Seri Mengkuang (Pusat Jagaan Kanak-Kanak) di Kubang Semang dan Kedai Kek Dan Roti Ikhwan serta Ikhwan BP Mart di Bandar Perda.

“Hasil serbuan ke lokasi terbabit, pihak JHEAIPP telah merampas enam buah kitab atau buku yang disyaki berkaitan dengan Al-Arqam yang mana buku-buku ini telah diharamkan (sebelum ini).

“Kesalahan ini berkait dengan peruntukan di bawah Seksyen 13(1)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang (EKJSNPP 1996) iaitu ada dalam miliknya apa-apa buku, risalah, dokumen atau bentuk lain rakaman sedemikian.

“Buat masa ini, siasatan masih berjalan dan pihak berkuasa sedang meneliti semua bukti yang diperoleh,” katanya di sini, hari ini.

PENGUATKUASA memeriksa buku-buah kitab atau buku yang disyaki berkaitan dengan Al-Arqam dalam serbuan yang dijalankan di beberapa lokasi di Pulau Pinang, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, pihaknya tidak akan bertolak-ansur sekiranya didapati terdapat sebarang pelanggaran undang-undang atau salah laku yang melibatkan premis atau operasi GISB.

“Dalam hal ini, kerajaan negeri komited untuk memastikan bahawa setiap tindakan yang diambil adalah berasaskan fakta dan bukti yang sahih. Kami tidak akan membuat sebarang keputusan secara tergesa-gesa atau berdasarkan spekulasi,”katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua pihak agar tidak terlibat dalam penyebaran maklumat yang tidak tepat atau fitnah yang boleh mencetuskan kekeliruan dan ketegangan dalam masyarakat.

“Kami juga ingin mengingatkan masyarakat bahawa isu ini bukan hanya melibatkan entiti korporat, tetapi ia juga menyentuh aspek kepatuhan terhadap undang-undang dan prinsip moral yang dijunjung.

“Oleh itu, penting bagi semua pihak untuk mematuhi undang-undang dan beroperasi dengan integriti. Kita akan terus memantau perkembangan siasatan ini dengan teliti dan akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam memastikan isu ini diselesaikan secara adil dan saksama,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan sebuah rumah jagaan kanak-kanak dipercayai mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) di Bagan Buaya Changkat Nibong Tebal, di sini diserbu pihak berkuasa, pagi tadi. Selain itu, kedai roti, premis makan dan pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Perda, Bukit Mertajam turut diserbu hari ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya