Empat isteri, tiga anak Ahli Lembaga Pengarah GISBH  direman seminggu Empat isteri, tiga anak Ahli Lembaga Pengarah GISBH  direman seminggu

Empat isteri, tiga anak Ahli Lembaga Pengarah GISBH  direman seminggu

ROSLI (kanan berdiri) bersama individu yang dibawa untuk proses reman di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, hari ini. -FOTO/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Empat isteri dan tiga anak seorang Ahli Lembaga Pengarah  GISB Holdings (GISBH) direman bagi membantu siasatan berhubung pengekploitasian dan pemerdagangan kanak-kanak.

Salah seorang isteri kepada Ahli lembaga Pengarah itu adalah wanita warga Australia.

Perintah reman stujuh hari itu dibenarkan Timbalan Pendaftar Muhammad Firdaus Abdul Rashid di Mahkamah Majistret di sini, pagi ini.

Peguam Rosli Kamaruddin berkata, individu itu terdiri daripada enam wanita termasuk warga asing dan seorang lelaki berusia 18 hingga 55 tahun.

“Kesemua mereka termasuk empat isteri Ahli Lembaga Pengarah itu ditahan polis di sekitar Rawang malam tadi.

“Mereka dibenarkan reman tujuh hari bermula hari ini sehingga 4 Oktober depan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Kata  beliau, siasatan antaranya dijalankan mengikut Seksyen 31 (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.

Terdahulu, kesemua individu itu tiba dengan menaiki van polis dengan dikawal ketat anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ),  pukul 9.30 pagi.

Mereka dibawa untuk tahanan di Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Utusan Malaysia pada Rabu lalu melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif GISBH) bersama 23 pengikut termasuk isteri dan anaknya disambung reman selama empat hari.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 10 laporan terbaharu daripada individu yang didakwa menjadi mangsa buruh paksa GISBH.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan mereka yang berusia  14 tahun hingga 20-an itu melibatkan kes yang berlaku sejak 2013 di Selangor,  Sarawak dan Kedah.

Sepanjang tempoh bermula 11 September lalu, lebih 300 individu diberkas manakala 572 kanak-kanak diselamatkan polis di rumah jagaan yang diserbu menerusi Ops Global.

Sebanyak 35 kertas siasatan dibuka dan 138 akaun bank mengandungi RM882,795 milik GISBH dibekukan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar memaklumkan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) hanya akan mengeluarkan pandangan hukum mengenai GISBH dan bukannya fatwa.

Fatwa itu akan diputuskan oleh setiap negeri dan hasil perbincangan MKI mengenaj isu GISBH akan dibawa ke Majlis Raja-Raja pada 23 dan 24 Oktober depan bagi mendapatkan perkenan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN