PETALING JAYA: Pelakon, Emma Maembong, mendedahkan pernah disantau oleh seorang peminat lelaki beberapa tahun lalu.
Mengimbau kembali detik itu, Emma atau Fatimah Rohani Ismail, 32, menghadiri sebuah majlis bertemu peminat sebelum disapa seorang lelaki yang mengajaknya bergambar.
“Saya ingat, muka dia macam gigil. Waktu itu kawan dia ambilkan gambar. Selepas itu tiba-tiba saya dengar dia jerit, ‘kan aku dah kata nak gambar dia penuh dari atas sampai bawah’
“Selepas itu, lelaki itu datang semula, ambil gambar sekali lagi. Waktu itu saya tidak tahu kenapa dia mahu bergambar penuh (dari kepala ke kaki). Rupanya itulah cara jika mahu santau seseorang,” jelasnya.
Emma berkata demikian ketika berkongsi mengenai pengalamannya berdepan dengan perkara mistik di sebuah podcast yang tular bersama pelakon, Safwan Nazri.
Tambahnya, kejadian menjadi semakin teruk apabila lelaki berkenaan mula menghantar mantera menerusi sebuah kapsyen di Instagram.
“Saya pergi karaoke dengan rakan artis dan pembantu peribadi. Bila kawan saya tengah nyanyi, saya tengok telefon. Nampaklah lelaki tadi ‘tagged’ gambar kami dengan kapsyen panjang.
“Saya pun bacalah apa yang ditulis. Kapsyen itu pelik sangat, bila saya habis baca tulisan itu, tiba-tiba saya tidak sedar apa yang terjadi.
“Rupanya kawan saya beritahu, saya sudah menjerit, mengilai, ketawa menyebabkan semua di situ menjadi takut.
“Sejak itu, banyak penyakit dan pengalaman misteri berlaku menyebabkan saya rasa. Apa yang boleh dikatakan, apa yang dilakukan lelaki itu sangat teruk sampai mengubah kehidupan saya,” katanya.
Dedah pelakon itu lagi, pelbagai kejadian aneh mula berlaku seperti insiden gambar semasa sesi fotografi yang dilakukan di sebuah syarikat stesen penyiaran bertukar tiba-tiba.
“Empat tahun juga saya hadap bermacam-macam kejadian misteri. Ada satu ketika semasa sesi fotografi, saya senyum bergambar. Tapi gambar yang muncul di kamera menunjukkan mulut saya ke bawah.
“Jadi, mereka minta saya pergi berubat, katanya mungkin kena buatan orang,” jelasnya.
Menurut Emma, peristiwa berkenaan membuatnya lebih berhati-hati untuk memuat naik sebarang hantaran di Instagram selain lebih selesa untuk memilih individu terdekat untuk mendampinginya.
Kini, pelakon Kimchi Untuk Awak itu mengakui keadaannya sudah menjadi semakin baik namun mempunyai kelebihan untuk melihat makhluk halus kerana hijabnya sudah terbuka. -UTUSAN