Eksport halal 2023 hampir RM55 bilion

Eksport halal 2023 hampir RM55 bilion

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Nilai eksport halal Malaysia pada tahun 2023 mencecah hampir RM55 bilion sekali gus menyaksikannya melepasi paras RM50 bilion bagi tahun kedua berturut-turut.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kategori makanan dan minuman (F&B) adalah penyumbang terbesar eksport halal dengan nilai sebanyak RM29.4 bilion atau peningkatan hampir lima peratus bertanding RM27.84 bilion pada 202.

Katanya, ia diikuti dengan ramuan halal, kosmetik dan penjagaan diri, derivatif minyak sawit, industri kimia serta farmaseutikal.

“Sungguhpun berdepan dengan cabaran ekonomi global, Alhamdulillah, Malaysia kekal berada di tempat pertama bagi sektor makanan halal dalam petunjuk ekonomi Islam Global 2023 (GIEI). Ini adalah pencapaian ke sepuluh tahun berturut-turut yang melambangkan Malaysia sebagai peneraju industri ini di peringkat global.

“Produk-produk seperti makanan tambahan (supplement), makanan berfungsi (functional foods) dan bahan ramuan juga semakin banyak mencari pengiktirafan halal, kerana ia lebih diyakini pengguna dari segi kebersihan dan kualiti.

“Dari sudut perkhidmatan, sektor kewangan Islam juga telah diterima dan guna pakai secara meluas di atas prinsip perkongsian risiko dan pelaburan berasaskan nilai-nilai Islam seperti keadilan, ketulusan dan tanggungjawab sosial,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024.

Tengku Zafrul berkata, Kerajaan Malaysia secara proaktif mendukung industri halal kerana permintaan untuk produk dan perkhidmatan halal global diramalkan mencecah nilai USD5 trilion pada 2030.

“Melalui Pelan Induk Industri Halal (HIMP 2030), syarikat-syarikat Malaysia akan diperkasa untuk turut merebut peluang tersebut, dengan menyasarkan eksport halal sebanyak RM75.2 bilion atau 11 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2030.

“Sasaran yang ditetapkan sekaligus menggarap rentak pecutan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk mencapai objektif ini, terutamanya melalui penganjuran MIHAS,” katanya.

PLATFORM e-DAGANG

Pada masa sama, beliau berkata, kementeriannya turut menggalakkan syarikat Malaysia termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk menggunakan platform e-Dagang rentas sempadan bagi tujuan eksport melalui program eTRADE.

Katanya, ia bagi memacu agenda pendigitalan eksport.

“Program ini merupakan insentif untuk penyenaraian produk di platform e-Dagang antarabangsa, aktiviti pemasaran digital serta latihan yang berkaitan.

“Dalam meningkatkan eksport halal Malaysia, MITI dan MATRADE juga menggalakkan pengeksport Malaysia untuk memanfaatkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), termasuk FTA terbesar di dunia iaitu Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). RCEP dan CPTPP masing-masing merangkumi 28 peratus dan 11.5 peratus daripada KDNK global.

“Manfaat FTA ini termasuk tarif pada kadar sifar dan juga keutamaan akses pasaran, yang sudah tentu akan menjadikan produk dan perkhidmatan kita lebih menarik serta berdaya saing,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, MIHAS akan melangkaui sempadan domestik melalui penampilan sulungnya di luar negara atau lebih dikenali sebagai MIHAS@Dubai. 

“Kita mahu memanfaatkan status Dubai sebagai bandaraya entrepot dan hab utama pasaran Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA), bagi pengimportan dan pengedaran barangan buatan Malaysia ke negara-negara serantau. 

“Sasaran jualan eksport di MIHAS@Dubaiadalah RM1 bilion dan saya yakin syarikat-syarikat Malaysia yang menyertainya akan berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan.

“MATRADE juga merancang untuk menganjurkan MIHAS peringkat antarabangsa di lain-lain negara seperti China dan Eropah pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya