Ejen Ali The Movie 2 siap 50 peratus, tayang tahun hadapan - Utusan Malaysia

Ejen Ali The Movie 2 siap 50 peratus, tayang tahun hadapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas berjaya memegang rekod animasi pecah panggung, Primeworks Studios dan WAU Animation mengumumkan filem Ejen Ali The Movie 2 (EATM 2) bakal bertemu penonton pada tahun hadapan.

Pengarah EATM 2 dan Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid Yasin berkata, filem itu masih dalam pembikinan tetapi sudah hampir 50 peratus siap dan telah menelan kos sebanyak RM10 juta.

“Filem ini masih belum siap dan boleh dikatakan lebih separuh kerja produksi sudah dibuat sejak dimulakan awal tahun lalu. Sebenarnya, jangka masa yang diambil agak munasabah untuk penghasilan filem animasi.

“Filem pertama membabitkan kos RM6.5 juta. Melihat kepada kos penghasilan filem animasi selepas pandemik COVID-19, boleh dikatakan meningkat. Ini berikutan situasi ekonomi dan nilai mata wang juga.

“Bagi projek sekuel ini kami cuba yang terbaik untuk menghasilkan filem yang berkualiti sesuai dan memberikan impak kesan khas yang baik berbanding filem sebelum ini,” katanya.

Pengarah itu ditemui di majlis tayangan khas Misi : First Look EATM 2 buat pertama kali di majlis pelancaran yang dirasmikan Menteri Digital, Gobind Singh Deo di Festival Kandungan Digital Malaysia 2024 (MYDCF) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam.

Selain itu, Usamah turut berkongsi bahawa dia meletakkan kutipan sasaran EATM 2 yang lebih tinggi daripada filem pertamanya itu.

“Ejen Ali sememangnya mendapat sambutan ramai dari kartun bersiri dan filemnya terdahulu yang berjaya mengutip lebih RM30 juta di pawagam pada tayangannya 2019 lalu.

“Jadi, untuk sasaran kutipan bagi karya EATM2 ini sudah semestinya disasarkan melebihi RM40 juta hingga RM50 juta, bergantung pada sambutan penonton di pawagam nanti. Harapnya dapatlah kutipan yang baik.

“Lagipun, jalan cerita dimuatkan dalam EATM 2 ini ada kelainan dan pembaharuan yang berbeza daripada filem terdahulu. Termasuk, kemunculan Ali juga dipaparkan dengan imej baharu,” kongsinya.

Sekuel ini akan menceritakan Ejen Ali dilantik sebagai juruterbang Projek Satria, iaitu sebuah sut berperisai baharu dengan bantuan program Kecerdasan Buatan (AI) yang direka khas bagi mengoptimumkan prestasi fizikal dan kemahiran mental ejen MATA ketika menjalani misi rahsia mereka.

Filem ini juga mengekalkan barisan penyumbang suara watak utama iaitu Ida Rahayu Yusoff sebagai Ejen Ali bersama kucing peliharaannya, Comot, Noorhayati Maslini Omar (Ejen Alicia), Shafiq Isa (Ejen Bakar) dan Azman Zulkiply (Rizwan dan Jeneral Rama). -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN