Duta Enclave: Rayuan kerajaan didengar 7 Nov.

Duta Enclave: Rayuan kerajaan didengar 7 Nov

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan (kiri) bersama peguam, Datuk Cyrus Dass selepas prosiding rayuan Kerajaan Malaysia berhubung status pemilikan tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta atau turut dikenali Duta Enclave di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perbincangan berhubung penyelesaian berkaitan tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta (kini dikenali sebagai Jalan Tuanku Abdul Halim) sedang dijalankan secara aktif dan terdapat perkembangan terkini.

Menurut Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili Kerajaan Malaysia berkata, perbincangan tersebut ‘dilihat secara positif dan mungkin ada perkembangan yang baik’.

Kenyataan itu dibuat Shamsul ketika ditemui media selepas tamat prosiding di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Lee Swee Seng yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azimah Omar dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Perkara itu turut disahkan oleh peguam, Datuk Cyrus Dass yang hadir bagi pihak Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd.

Selain itu, peguam terbabit turut memberitahu pihaknya juga telah diberikan jaminan bahawa perbincangan penyelesaian itu tidak akan dilengahkan walaupun rayuan akan didengar dalam masa terdekat.

“Rayuan ditetapkan untuk pendengaran pada 7 November ini. Sementara itu, kerajaan telah memberi jaminan bahawa perbincangan akan diteruskan dan diharapkan terdapat penyelesaian sebelum & November itu,” kata peguam itu.

Terdahulu, panel Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan pendengaran rayuan tersebut selepas membenarkan permohonan oleh Shamsul.

Shamsul sebelum ini memohon penangguhan tersebut atas alasan terdapat dua rayuan yang difailkan oleh kedua-dua pihak secara berasingan dan memohon agar kedua-duanya didengar bersama memandangkan ia membabitkan tanah yang sama.

Semantan Estate memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 27 Oktober 2021 yang menolak semakan kehakiman mereka untuk mendapatkan tanah seluas 106.542 hektar yang turut dikenali sebagai Duta Enclave.

Kerajaan pula merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 7 Ogos lalu yang membenarkan saman pemula Semantan Estate terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan untuk memindah milik dan mendaftarkan syarikat itu sebagai pemilik tanah terbabit.

Cyrus bagaimanapun pada mula membantah penangguhan tersebut atas alasan rayuan berhubung semakan kehakiman itu telah tertangguh begitu lama.

“Perbincangan sedang berjalan dan terdapat perkembangan. Disebabkan keputusan Mahkamah Tinggi (7 Ogos), kini terdapat tekanan yang besar terhadap responden (Kerajaan Malaysia) untuk mencari penyelesaian kerana ia melibatkan bangunan kerajaan.

“Bagaimanapun, sekiranya penangguhan diberikan, kami harap ianya tidak lama dan pihak responden bersedia dalam masa terdekat ini,” katanya.

Pada 12 September lalu, Kerajaan Malaysia berjaya mendapat penangguhan perintah untuk pindah milik tanah tersebut kepada Semantan Estate.

Pada 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.

Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah seluas 106.542 hektar itu yang telah diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit.

Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan namun ditolak pada 18 Mei 2012 dan pada 21 November 2012, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan bagi kebenaran merayu keputusan itu.

Pada 2018, Mahkamah Persekutuan sekali lagi menolak permohonan kerajaan untuk menyemak semula keputusannya sebelum ini.

Semantan Estate memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan pada Februari 2017 untuk menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi yang dibuat pada 2009.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN