Duta Enclave: Kerajaan berjaya tangguh perintah pindah milik

Duta Enclave: Kerajaan berjaya tangguh perintah pindah milik

ANTARA hartanah di Jalan Duta di mana Mahkamah Tinggi mengarahkan kerajaan serah kepada Semantan Estate Sdn. Bhd. (SESB) dan syarikat itu juga telah memfailkan saman pemula terhadap kerajaan untuk Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan memindah milik tanah seluas 263.272 ekar di Mukim Batu, Daerah Kuala Lumpur kepada syarikat itu di bawah Seksyen 417 Kanun Tanah Negara 1965. UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia berjaya mendapat penangguhan perintah untuk pindah milik tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta (kini dikenali sebagai Jalan Tuanku Abdul Halim) kepada Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. yang merupakan pemilik asal lokasi itu.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh membenarkan permohonan Kerajaan yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan atas alasan kepentingan awam.

“Tanah terlibat yang dikenali sebagai Duta Enclave melibatkan 106.542 hektar tanah yang merangkumi pelbagai bangunan dan fasiliti, melibatkan ramai kakitangan, aset awam dan rekod sejarah yang berharga.

“Sekiranya penangguhan tidak diberikan, akan terdapat kesan yang tidak boleh dibaiki,” kata hakim itu ketika membaca penghakiman ringkasnya.

Rayuan berhubung keputusan berkait pindah milik itu akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 19 September ini.

Pada 7 Ogos lalu, Hakim Ahmad Shahrir memerintahkan kerajaan memindah milik tanah berkenaan kepada Semantan Estate selepas membenarkan saman pemula syarikat itu terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan selaku defendan.

Beliau juga menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu cadangan penyelesaian oleh kerajaan berhubung pertikaian tanah berkenaan.

Ahmad Shahrir memerintahkan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan untuk melaksanakan syarat yang diminta dalam tempoh tiga bulan bermula 7 Ogos, selain memerintahkan kerajaan membayar kos RM50,000.

Hakim itu turut memerintahkan defendan agar mendaftarkan plaintif (Semantan Estate) sebagai pemilik tanah melaksanakan semua surat cara pindah milik serta mengeluarkan dokumen hak milik tanah tanpa bebanan dan liabiliti atas nama plaintif.

Pada 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.

Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah seluas 106.542 hektar itu yang telah diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit.

Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan namun ditolak pada 18 Mei 2012 dan pada 21 November 2012, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan bagi kebenaran merayu keputusan itu.

Pada 2018, Mahkamah Persekutuan sekali lagi menolak permohonan kerajaan untuk menyemak semula keputusannya sebelum ini.

Semantan Estate memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan pada Februari 2017 untuk menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2009.

Kerajaan juga telah mencadangkan penyelesaian berhubung pertikaian tanah itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN