USAHA tidak akan mengkhianati hasil, itu pepatah yang wajar diberikan kepada usaha pendatang baru industri ini, yang sentiasa berusaha untuk bertapak dalam industri seni tanah air.
Memulakan langkah dengan menjadi model membantu Hadi Iskandar atau lebih dikenali dengan Sky Iskandar, untuk mendapatkan keyakinan dan membina kerjaya dalam dunia lakonan.
Melayangkan pertanyaan kepada Sky, mengapa memilih untuk berkecimpung dalam industri seni, dia menganggap tiada pekerjaan lain yang mampu untuk memberi kepuasan kepada dirinya melainkan dunia seni ini.
“Tiada kerja lain yang memberikan saya kepuasan seperti mana berlakon atau kerja-kerja seni lain.
“Kepuasan ini adalah sesuatu yang tidak boleh dibeli dengan wang, ia dibuat untuk jiwa.
“Seni itu dilakukan untuk jiwa dan kalau diri kita itu jiwa seni, kita kena isikan dengan seni,” ujar jejaka 30 tahun itu.
Selain itu, anak kelahiran Petaling Jaya itu, tidak meletakkan sebarang impian untuk menjadi satu nama besar dalam industri seni tanah air.
“Saya tidak meletakkan sebarang capaian atau impian untuk menjadi bintang besar kerana ia bukan menjadi pilihan utama saya ketika menjejakkan kaki dalam dunia lakonan.
“Saya hanya serahkan kepada takdir tuhan dan peminat untuk membawa karier saya ke mana. Yang penting saya fokus kepada lakonan dan kerjaya saya.
Sementara itu, walaupun jiwa seninya sudah terbentuk sejak dahulu, tetapi perjalanannya untuk membawa diri dalam industri ini masih kurang mendapat kepercayaan dan restu daripada ibu bapa tercinta.
“Secara umumnya untuk masuk ke dalam dunia seni memang agak sukar untuk mendapat restu daripada ibu bapa kerana ia bukannya pekerjaan yang standard.
“Ianya agak sukar bagi mereka, tetapi apa yang saya buat adalah terus konsisten dan fokus dengan apa yang hendak dilakukan,” tambahnya.
Sebagai pendatang baharu, Sky berharap industri perfileman tempatan dapat terus berkembang secara sihat.
“Saya percaya cerita-cerita di Malaysia ini autentik, genuine, dan terbaik. Banyak lagi yang belum diterokai.
“Saya berasa bangga melihat banyak filem tempatan yang berjaya memecah rekod kutipan.
“Itu menunjukkan satu petanda yang baik bagi industri perfileman di Malaysia. Kita harus mengekalkan momentum ini dan terus berkembang,” kongsinya.
Kahar Kapla High Council
Terpilih menjadi barisan pelakon filem Kahar Kapla High Council membuatkan dirinya bersyukur kerana diberi peluang dan ruang untuk berkarya melalui naskhah itu.
“Sebagai pelakon baharu, saya sangat teruja dalam menyertai filem. Hal ini kerana semasa pihak produksi sedang mencari pelakon, saya hanya mencuba nasib sahaja dan terpilih.
“Saya sangat teruja untuk menjayakan filem ini dan bersyukur kerana diberikan peluang,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Sky turut berharap orang ramai dapat untuk menikmati filem ini dan mengambil pengajaran yang akan ditonjolkan.
“Diharapkan semua dapat nikmati filem ini dan menjadikan ia sebagai inspirasi kepada sesiapa yang menontonya nanti.
“Yang paling penting, semua orang dapat mengambil iktibar dengan apa yang bakal ditonjolkan menerusi filem yang bakal bertemu di penonton tidak lama lagi,” ujarnya.