Dunia permotoran ‘Phua Chu Kang’ - Utusan Malaysia

Dunia permotoran ‘Phua Chu Kang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA sebelum ini Pancaindera banyak berkongsi hobi-hobi selebriti tanah air tetapi edisi kali ini, kami membawa seorang pelawak tersohor dari negara jiran, Singapura yang sudah pasti dikenali ramai. 

Siapa sangka di sebalik watak Phua Chu Kang yang sentiasa mencuit hati penonton dengan jenaka ‘don’t play play’, aktor ini mempunyai hobi yang agak lasak di luar kaca televisyen iaitu menunggang motosikal. 

Menurut Gurmit Singh atau nama lengkapnya, Gurmit Singh Virk Chainchal Singh, 59, dia mula jatuh hati dalam dunia permotoran selepas diajar oleh bapanya ketika baru meningkat remaja. 

“Saya mula dalam dunia permotoran ini ketika berusia 12 tahun walaupun semuanya dalam keadaan main-main. 

“Tetapi sejak semakin berusia, segala memori itu mula kembali dan saya kembali aktif dalam aktiviti permotoran walaupun isteri pada mulanya agak risau tetapi dia memahami kepuasan saya menunggang motor,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. 

Berada dalam dunia glamor sememangnya tidak memberikan ruang privasi kepada selebriti untuk mempunyai masa bersendirian, oleh itu, masa yang ada di atas kenderaan dua roda itu menjadi me time buat Gurmit. 

“Jika saya pergi ke mana-mana, orang akan ambil gambar bersama dan minta tandatangan. Jadi, tiada ada ruang untuk saya bersendirian. 

“Bila di atas motosikal, saya dapat nikmati masa berseorangan. Nikmati lagu dan pemandangan,” kongsinya lagi. 

Selain itu, Gurmit turut berkongsi jika mahu merantau, dia selalunya akan menunggang bersama rakan-rakan dan lebih memilih motosikal terpakai daripada baharu. 

“Kalau ride selalunya dengan kawan-kawan dan kadang-kadang berseorangan. Buat masa ini saya ada ada dua motor iaitu BMW dan Harley. 

“Saya juga lebih memilih motosikal terpakai berbanding baharu kerana tidak perlu untuk membazir duit,” ujarnya. 

Dalam pada itu, pelawak asal Singapura itu turut mengakui menunggang motor sebenarnya agak bahaya kerana tidak mempunyai alatan keselamatan yang baik seperti kereta namun harus sentiasa berhatihati. 

“Ada orang yang mengatakan bahawa aktiviti permotoran ini terlalu berbahaya. Saya pesan kepada mereka jangan beli motosikal, hanya ambil lesen, kemahiran dan itu sahaja. 

“Jika anda fikir anda boleh dan yakin untuk bawa motosikal terutamanya untuk jarak jauh maka belilah motor dan bawa sendiri. Nikmati pengalaman itu. 

“Bagi saya ketika menunggang motosikal, keselamatan sentiasa menjadi keutamaan dan akan cuba untuk mematuhi segala peraturan kerana semuanya mempunyai risiko,” kongsinya. 

Dalam pada itu, melayangkan soalan berkenaan perancangan jelajah bersama kenderaan dua roda itu, dia menjelaskan bahawa dia ingin menjelajah di seluruh Malaysia terlebih dahulu sebelum pergi ke negara lain. 

“Selalunya saya akan membawa motor dan pusing-pusing di kawasan Johor terutamanya di Johor Bahru. Paling jauh setakat ini hanya Pulau Pinang. 

“Jika ingin lihat kepada perancangan, saya rasa Malaysia ada banyak tempat yang menarik. 

“Saya mahu terokai dahulu kawasan-kawasan di sini bersama rakan-rakan lain kerana banyak lagi kawasan yang belum saya pergi. Hendak lihat pantai – pantai di sini dan kawasan peranginan lain,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya