PETALING JAYA: Penyanyi, Yuna, gembira impiannya menghasilkan projek duet bersama artis Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) akhirnya terlaksana.
Cerita Yuna atau Yunalis Mat Zara’ai, 38, bermula dengan mendengarkan lagu nyanyian BCL semasa memandu, kini siapa sangka 10 tahun kemudian dia mempunyai rezeki bergandingan menerusi lagu ‘Watak Utama’.
“Saya ingat lagi waktu itu saya baru balik dari sebuah gig indie sambil dengar lagu ‘Aku Dan Dirimu’.
“Lebih 10 tahun selepas itu, saya kemudian menuliskan lagu comel begini dalam Bahasa bertajuk ‘Watak Utama’. Sudah tentu rasa macam tidak percaya.
“Lagu ini diterbitkan oleh Pierre Jamerson. Kemudian saya terus terfikir untuk ajak Bunga nyanyi bersama. Saya terkejut Bunga setuju,” tulis Yuna dalam hantaran di Instagram.
Bukan itu sahaja, pemegang trofi Anugerah Eksplorasi Seni, Anugerah Bintang Popular itu mengucapkan terima kasih kepada BCL yang juga kakak iparnya kerana bersetuju menjayakan projek ini.
“Terima kasih Bunga kerana beri motivasi dan menginspirasikan kami semua dengan kerja keras, kegigihan dan bakat awak. Saya sangat gembira lagu ini akhirnya keluar. Sayang awak dan sangat bangga mempunyai kakak seperti awak,” katanya.
Yuna turut berharap lagunya itu akan menghubungkan peminat muzik baik dari Malaysia dan Indonesia.
“Kalian patut ada nama baru iaitu Biras. The Biras,” tulis satu peminat.
“Sedang menari semasa tulis komen ini,” kata penyanyi Daiyan Trisha.
“Saya sekarang tengah dengar lagu ini sekarang di Apple Music,” komen penyanyi Acha Septriasa. -UTUSAN