PETALING JAYA: Dua individu termasuk seorang pegawai kanan kerajaan di sebuah kementerian bergelar Datuk direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya kerana disyaki menyeleweng dana kerajaan berjumlah RM400,000.
Turut ditahan seorang penjawat awam namun dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Satu sumber berkata, individu bergelar Datuk itu berjawatan sebagai setiausaha bahagian di sebuah kementerian yang bertanggungjawab mengawal selia sebuah agensi badan berkanun kerajaan.
Kata sumber itu, dua individu yang masih direman iaitu Datuk berkenaan dan seorang pegawai khas ditahan semalam ketika mereka hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya.
“Suspek utama dipercayai melakukan perbuatan tersebut baru-baru ini dengan mengemukakan kertas cadangan program tersebut untuk kelulusan peruntukan dan kemudian disalurkan kepada sebuah agensi kerajaan berkaitan.
“Suspek turut disyaki berpakat dengan orang dalam agensi kerajaan tersebut dan mengeluarkan wang peruntukan tersebut secara tunai yang bernilai ratusan ribu ringgit dan kemudiannya digunakan untuk keperluan peribadi,” kata sumber itu.
Perintah reman empat hari sehingga 13 September ini dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah seksyen 23 Akta SPRM 2009.- UTUSAN