Hari ini Semalam muncul sebagai telefilem terbaharu yang dihasilkan daripada naskhah puisi hasil karyawan tempatan. Telefilem bertemakan sambutan Hari Kebangsaan terbitan RTM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diangkat daripada dua karya puisi nukilan dua Sasterawan Negara.
Telefilem tersebut yang diarahkan Wan Mohd. Afzam Wan Daud ini diadaptasi daripada dua puisi, iaitu karya Sasterawan Negara, iaitu Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain) berjudul Pilihan Usia dan Masa oleh Sasterawan Negara Datuk Dr. Rahman Shaari.
Telefilem itu disiarkan mengisi slot Panggung RTM pada malam tadi menerusi saluran TV1 dan RTMKlik.
Ia dibintangi oleh pelakon hebat seperti Iedil Dzuhrie Alaudin, Kathy Azean, Amerul Affendi, Raif Irfan, Jay Iswazir dan Hamsini.
Telefilem ini merupakan kali keenam usahasama RTM bersama DBP dalam penghasilan drama setelah kejayaan drama Sesekali (2019), Pendoa yang Ikhlas (2019), Capa Rengat Gulai Rawo (2021), Jabat Erat-Erat (2022) dan Pekan Kecil Kampung Terpencil (2023).
Usahasama itu khususnya bersama-sama Unit Drama RTM yang menerbitkan karya adaptasi dalam mengangkat karya sastera terbitan DBP ke bentuk drama dan telefilem perlu diteruskan.
Atas usaha tersebut, DBP merakamkan penghargaan kepada tenaga kerja yang kreatif khususnya Unit Drama TV, RTM yang memilih DBP sebagai rakan kerjasama dan mampu menerbitkan karya yang baik dan bermutu dengan bersumberkan karya terbitan DBP.
Justeru, Pengerusi Lembaga Pengarah DBP, Datuk Dr. Anwar Ridhwan mengucapkan tahniah kerana usaha sama berkenaan dapat menghasilkan telefilem yang bermutu dengan menggabungkan puisi dua sasterawan negara berkenaan.
Masa
Sewaktu aku merangkaperlahan
Menyusuri pagarmu
Hukuman tertimpa tanpa amaran
Di sudut itu
Atas nama pilihan
Kerelaan telah dipaksa
Untuk ku tanpa berkata
Kini kukenali
Yang tidak menoleh
Merenung atau menyapa
Rupa-rupanya engkau
Kini kuketahui
Yang tidak merasa
Toleran atau simpatik
Rupa rupanya
Engkau
Seorang aku terus
Merela
Dimamah usia
Rahman Shaari
Menurut beliau , kedua-dua puisi tersebut mempunyai kekuatan makna yang hebat yang telah melahirkan karya telefilem yang hebat dengan olahan skrip dan penceritaan yang amat baik sekali.
“Kejayaan demi kejayaan dalam penerbitan karya adaptasi ini bukan sahaja berpotensi menyemarakkan industri kreatif negara, tetapi juga mengangkat karya Sasterawan Negara dalam pelbagai medium,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, DBP mempunyai banyak karya sastera yang boleh dialih wahana dalam pelbagai bentuk persembahan sama ada dalam bentuk skrin, pementasan teater, drama radio atau audio siar dan sebagainya.
Olahan yang baik, skrip yang baik, arahan yang baik, pelakon yang berbakat dan menjiwai lakonannya mampu menghasilkan karya yang baik sungguh pun karya sastera tersebut pada awalnya dianggap ‘berat’.
Sehubungan itu, kata beliau, DBP akan terus sentiasa bersama-sama RTM dalam mengangkat karya yang baik dan menyokong segala usaha Unit Drama TV, RTM menerbitkan drama/telefilem menggunakan karya agensi berkenaan.
“Sekali lagi saya ucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam penghasilan karya ini. Semoga telefilem ini memberikan manfaat kepada masyarakat dan teruskan berkarya,” ujarnya.
Telefilem Hari ini Semalam mengisahkan nasib malang menggagalkan impian Armin sebagai juara tinju. Bertahun-tahun kemudian, semasa menjalankan perniagaan gimnasium milik bapa angkatnya untuk mendapatkan wang persaraan (mahu pulang ke kampung), Armin bersetuju untuk berlawan bagi kali terakhir. Dia hanya perlu kalah dalam perlawanan tersebut.
Namun, kali ini Armin mengambil keputusan untuk menang. Dia yang selama ini ‘kalah’ dalam hidup, ingin merasa nikmat ‘menang’ walaupun sekali.
Sementara itu, Saad sebagai penjual barangan pukal (bundle) secara penstriman langsung pula cuba mendekati seorang gadis. Saad menganggap peluang harus direbut demi masa hadapan.
Namun, dia silap percaturan. Hutangnya terhadap beberapa penjual barangan pukal menyebabkan dia diburu. Tidak pernah serik, Saad berulang-ulang melakukan kesilapan.
Sementara itu, Jamilah bekerja sebagai seorang penjual roti bermotosikal untuk menyara kehidupannya. Setiap hari dia akan bertemu dengan Atik yang tidak tahu Jamilah ialah ibu saudaranya.
Konflik antara Jamilah dan adik lelakinya (ayah Atik) sudah berlaku 20 tahun lamanya. Sehinggalah satu hari ketika bertemu Atik, Jamilah bertembung dengan adiknya itu. Pertengkaran berlaku.
Ungkit-mengungkit terjadi. Namun, Jamilah kekal diam kerana dia tahu dia bersalah dalam hal itu. Memujuk adiknya untuk memaafkan kesalahan dahulunya terlihat sukar oleh Jamilah. Armin menjadi orang tengah membantu pertelingkahan dua beradik tersebut
Dalam pada itu, Rahman berkata, Masa ialah sajak yang bertema kemungkinan dalam kehidupan manusia.
Katanya, manusia masanya bertuah pada masa tertentu , dan malang pada masa lain. Allah menyembunyikan masa bertuah dan malang.
“Pengarah drama (telefilem) ini berjaya memahami mesej tersebut,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, watak-watak yang dibina itu adalah tanpa merujuk pada kekhususan sajak, maka pengarah bebas mencipta watak-watak dalam adaptasi.
Dalam pada itu, pengarah telefilem berkenaan Wan Afzam Wan Daud pula berkata, pembikinan telefilem tersebut membuktikan tidak mustahil dua puisi boleh disatukan di bawah satu medium visual iaitu Panggung RTM.
Tambahnya, meskipun berbeza penulis iaitu Baha menerusi Pilihan Usia dan Masa oleh Rahman, jelas pertembungan makna serta mesej kedua-duanya merupakan satu kekuatan yang wajar diangkat bagi tontonan khalayak. – UTUSAN