Dua polis didakwa ‘ganggu’ motosikal di stesen minyak dirakam keterangan

Dua polis didakwa ‘ganggu’ motosikal di stesen minyak dirakam keterangan

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi tiga minit 18 saat yang tular di media sosial pada Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis sudah merakam keterangan dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang didakwa ‘mengganggu’ sebuah motosikal diparkir di stesen minyak di Subang Perdana, Sungai Buloh di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, keterangan kedua-dua anggota itu diambil bagi membantu siasatan kes tersebut.

Bagaimanapun, katanya, polis setakat ini belum menerima laporan daripada pemilik motosikal terbabit.

“Polis belum menerima pengaduan (laporan) daripada pemilik motosikal,” katanya hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, pemilik motosikal diminta tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.

Mohd. Hafiz dilaporkan berkata, pihaknya mengesan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi tiga minit 18 saat yang tular di media sosial pada Sabtu lalu.

Rakaman itu menunjukkan anggota rondaan cegah jenayah dari Balai Polis Kampung Baru Subang mendekati sebuah motosikal yang ditempatkan di stesen minyak berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata, pemeriksaan kenderaan adalah tugas harian yang dijalankan setiap petugas rondaan cegah jenayah di lapangan.

Katanya, penularan rakaman itu dilihat menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD Sungai Buloh.

Justeru, pemilik motosikal itu diminta tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN