SHAH ALAM: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor memasang dua perangkap dan meletakkannya di Tasik Seksyen 7, di sini, hari ini bagi menangkap seekor buaya yang dikesan muncul di kawasan rekreasi itu.
Kedua-dua perangkap termasuk satu dipinjam dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan dipasang di dua kawasan tebing tasik buatan tersebut menerusi Op Buaya Shah Alam.
Tinjauan mendapati, pemasangan perangkap itu dibuat menggunakan sangkar lebih dua meter dan diikat pada tong untuk membolehkan ia timbul selain meletakkan ayam segar sebagai umpan bagi memerangkap reptilia tersebut.
Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd. Adib Wan Mohd. Yusoh berkata, pemasangan perangkap tersebut dibuat selepas pihaknya mengenal pasti pergerakan dan perilaku buaya tersebut bagi memudahkan penangkapannya.
Menurutnya, Perhilitan Selangor turut mendapat kerjasama daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang memasang jaring pada lima laluan keluar dan masuk air di tasik berkenaan supaya buaya berkenaan tidak terlepas keluar.
“Hari ini, kita pasang perangkap pertama di laluan pertama, dan perangkap kedua di kawasan seberang yang mana ia bukan laluan utama untuk buaya yang kita pantau lebih 24 jam.
“Berdasarkan apa yang kita lihat, pergerakan buaya tak jauh dari tebing sekitar tiga hingga lima meter dan membolehkan kita pasang perangkap dan kita gunakan perangkap terapung,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Tambah Wan Mohd. Adib, pihaknya yakin hanya seekor buaya berada di tasik berkenaan berdasarkan pemantauan yang dilakukan lebih 48 jam bermula pada hari pertama aduan diterima.
“Start viral, bila kita buat siasatan, kita dapat bercakap dengan orang yang rekod video itu. Pengakuannya, dia mula rekod pada 18 Ogos, jadi (sekarang) mungkin sudah 20 hari lepas gambar itu (tular) dan mula daripada situ kita buat siasatan dan pemantauan,” jelasnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan MBSA memberi peringatan kepada orang awam yang beriadah di Tasik Seksyen 7 di Jalan Platinum 7/60 agar berhati-hati dan tidak menghampiri gigi air selepas disahkan terdapat seekor buaya ditemui di kawasan berkenaan.
Perhilitan Selangor dalam maklumannya sebelum ini memberitahu pihaknya berjaya merakam kelibat spesis buaya tembaga itu dipermukaan air pada bahagian tengah tasik sepanjang kira-kira 1.5 meter.
Dalam pada itu, Wan Mohd. Adib memaklumkan, beliau berharap buaya tersebut dapat ditangkap secepat mungkin bagi membolehkan orang ramai beriadah di kawasan tersebut dengan rasa selamat.
“Kalau kita lihat dari segi kekerapan kemunculan, ia memang senang kita nampak, saya harap kurang sebulan atau secepat mungkinlah, kita harapkan operasi ini berjaya.Kita tahu tempat ini kawasan riadah awam.
“Berdasarkan pengalaman kita sebelum ini, pemasangan perangkap boleh ambil masa kepada sebulan, tetapi ia bergantung kepada perilaku buaya tersebut.
“Kita tengok kepada keadaan sekeliling, kalau dia kurang terganggu dan rasa selamat, jadi mungkin lagi cepat dia masuk perangkap dengan sumber makanan yang betul, maksudnya umpan yang memang kena padanya,” ujarnya. – UTUSAN