Dua nelayan cemas bot dilanggar kapal kargo - Utusan Malaysia

Dua nelayan cemas bot dilanggar kapal kargo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dua nelayan berdepan detik cemas apabila bot dinaiki mereka dipercayai berlanggar dengan sebuah kapal kargo di perairan Kuala Kedah, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Salawati Saad berkata, kedua-dua nelayan itu bagaimanapun dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan kini berada di Phuket, Thailand setelah berjaya diselamatkan krew kapal kargo itu.

Menurutnya, kejadian menimpa dua nelayan berusia 29 dan 50 tahun itu disedari oleh komuniti nelayan di Kuala Kedah kira-kira pukul 8.30 malam kelmarin setelah mereka ternampak beberapa serpihan dan peralatan daripada bot dinaiki mangsa di laut.

“Sehubungan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) segera menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR). Polis menerima laporan daripada pemilik bot berkenaan pada pukul 8.47 pagi semalam.  

“Bagaimanapun kira-kira pukul 8 malam tadi, pemilik bot tersebut telah dihubungi kedua-dua mangsa yang memberitahu mereka berada di Phuket. 

“Salah seorang mangsa memberitahu, insiden berlaku setelah kapal kargo tersebut bergerak terlalu rapat lalu terlanggar bot mereka yang berada dalam keadaan statik di unjam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.  

Tambah Salawati, kedua-dua mangsa memaklumkan mereka tidak mengalami kecederaan dan berada dalam keadaan baik.

“Pihak polis turut meminta mereka tampil memberi keterangan berhubung insiden tersebut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN