Dua lelaki tidak mengaku merompak - Utusan Malaysia

Dua lelaki tidak mengaku merompak

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua orang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan, Ahad lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh-tertuduh, seorang peniaga makanan, Muhammad Suhairy Osman, 30; dan penghantar makanan, Muhammad Norhandiga Norcholes, 24, didakwa dengan niat merompak telefon bimbit milik N. Dayvaan,25, yang membabitkan jumlah kerugian RM700.

Perbuatan itu dilakukan di hentian bas hadapan pusat beli-belah Berjaya Times Square, Jalan Imbi di sini pada pukul 3.50 pagi, 15 September lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Joshua Tee Yee Khuan mencadangkan tiada sebarang jaminan ditawarkan.

“Pihak pendakwaan membantah jaminan ditawarkan kerana mempunyai bukti yang kukuh bahawa kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan ini. Sekiranya mereka dijamin, mereka akan mengancam ketenteraman negara dan masyarakat,” kata Yee Khuan.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dibenarkan untuk diikat jamin dengan jumlah yang rendah atas alasan tidak mempunyai pendapatan yang tetap serta perlu menanggung ahli keluarga.

Hakim Hamidah Mohammed Deril membenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan seperti kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 22 Oktober ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN