Dua lelaki aktif samun ditahan polis

Dua lelaki aktif samun ditahan polis

HAMZAH (kanan) meneliti dua buah motosikal yang digunakan dua orang suspek ketika menyamun dalam sidang akhbar di IPD Seberang Perai Selatan, di Nibong Tebal, Pulau Pinang.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Dua lelaki tempatan yang aktif dalam kegiatan samun hingga mendatangkan kecederaan berjaya ditahan di dua lokasi berasingan di Seberang Perai dan George Town, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kedua-dua suspek masing-masing ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Khas D9, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di kawasan Juru, Bukit Mertajam dan Air Itam kira-kira pukul 12.20 tengah malam.

“Kedua-dua suspek yang ditahan bersangkut dengan laporan Machang Bubok. Susulan penahanan itu, beberapa barangan turut dirampas termasuk tiga bilah pisau, dua buah telefon bimbit, serangkai anak kunci dan 14 keping wang kertas mata wang tempatan dan luar negara.

“Polis percaya, dengan tertangkapnya dua suspek tersebut, enam kes samun mendatangkan kecederaan dan satu kes curi motosikal di kawasan Seberang Perai Tengah yang membabitkan keseluruhan kerugian bernilai RM12,350 berjaya diselesaikan ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di IPD Seberang Perai Selatan di Jawi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, hasil ujian air kencing mendapati, kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala siasatan lanjut mendapati, suspek-suspek itu juga memiliki 25 dan 14 rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN