Dua kilang tayar di Teluk Gong tidak berlesen

Dua kilang tayar di Teluk Gong tidak berlesen

ANGGOTA Penguat kuasa Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menjalankan operasi pemeriksaan di sekitar kawasan perindustrian Teluk Gong di Klang, Selangor, baru-baru ini. – IHSAN MBDK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Dua daripada tiga pre­mis kilang tayar di kawasan perindustrian Teluk Gong, di sini didapati beroperasi secara haram.

Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Norfiza Mahfiz berkata, sebanyak 18 operasi pemeriksaan dijalankan sepanjang tahun ini di sekitar kawasan tersebut oleh Jabatan Pelesenan bersama Jabatan Pe­nguat kuasa MBDK.

Katanya, sebanyak 27 kompaun telah dikeluarkan kepada pengilang sekitar Teluk Gong. Kompaun telah dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Tred Perindustrian Perniagaan Dan Iklan Majlis Perbandaran Klang (MPK) 2007.

“Memang wujud kilang ha­ram di kawasan tersebut iaitu tiga premis kilang tayar yang mana hanya satu yang berlesen.

“MBDK sebagai pihak ber­kuasa tempatan (PBT) sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan kawasan Teluk Gong bebas dari kilang tidak berlesen,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, Mingguan Malay­sia melaporkan, Teluk Gong di Pelabuhan Klang suatu ketika dahulu merupakan sebuah perkampungan yang permai di­kelilingi hutan paya bakau, namun kini tercemar teruk se­olah-olah bertukar sebagai pusat pelupusan dan pemprosesan sisa industri, plastik dan tayar terpakai berskala ‘mega’.

Berlakunya keadaan itu akibat kewujudan puluhan kilang disyaki beroperasi secara haram menjalankan kerja-kerja pemprosesan sisa buangan yang tidak melalui proses atau prosedur betul.

Norfiza berkata, berdasarkan statistik, terdapat sebanyak 274 kilang berlesen di Telok Gong yang mana 47 kilang tersebut berkaitan plastik.

Katanya, kompaun yang dikeluarkan bukan setakat berniaga tanpa lesen tetapi membabitkan pelanggaran syarat yang dibuat termasuk melibatkan pencemaran saliran dan udara.

Ujarnya, dakwaan penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bahawa MBDK tidak membuat pemantauan dan pemeriksaan adalah tidak benar sama sekali.

“MBDK dari masa ke semasa turut bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam melaksanakan kerja-kerja penguatkuasaan sekitar Teluk Gong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya