TAIPING: Seorang lelaki dan anak perempuannya cedera parah dihempap dahan pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Kamunting, Taman Glen View, Kamunting di sini hari ini.
Kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal iaitu lelaki berusia 40-an dan remaja perempuan berusia anggaran 15 tahun, tidak sedarkan diri.
Kejadian turut menyebabkan dua daripada lima individu dalam sebuah kereta jenis Perodua Alza cedera manakala tiga lagi dalam kenderaan yang sama tidak mengalami kecederaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pokok tumbang pada pukul 12.53 tengah hari.
Menurutnya, anggota dari Balai Bomba Kamunting ke tempat kejadian dan mendapati berlaku kejadian pokok tumbang menyebabkan dua buah kenderaan dihempap dahan pokok.
Katanya, ia melibatkan sebuah kereta jenis Produa Alza yang dinaiki lima orang, kesemuanya perempuan anggaran umur 16 hingga 35 tahun, dengan dua daripadanya mengalami kecederaan ringan manakala tiga lagi selamat.
“Sebuah lagi kenderaan jenis motosikal Yamaha dihempap dahan pokok menyebabkan penunggang dan pemboncengnya, yang dipercayai bapa dan anak cedera parah dan tidak sedarkan diri.
“Mangsa lelaki anggaran umur 40-an manakala seorang remaja perempuan anggaran umur 15 tahun,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, ketika ini operasi masih dijalankan bagi kerja-kerja pengalihan pokok yang tumbang.
“Semua mangsa telah diserahkan kepada pihak Kementeri Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya. – UTUSAN