Dua beranak maut kereta terbabas elak kera - Utusan Malaysia

Dua beranak maut kereta terbabas elak kera

TOYOTA Vios yang remuk setelah terbabas sehingga mengorbankan Siti Norhasliza Kamarudin (gambar kecil) dan ibunya, Omi Kalsom Man dalam kemalangan di Baling. - IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Dua beranak maut apabila kenderaan yang mereka naiki terlibat kemalangan selepas dipercayai mengelak kera yang melintas di Simpang Tiga Kuala Bakong, Jalan Malau-Kuala Ketil, di sini semalam.

Kejadian pada pukul 6.12 petang itu menyebabkan mangsa, Siti Norhasliza Kamarudin, 26, dan ibunya, Omi Kalsom Man,  69, meninggal dunia di tempat kejadian.

Kenderaan dipandu Mohd. Fadzil Othman, 27, itu membawa empat penumpang termasuk dua anaknya, Lufiya Mikayla Mohd. Fadzil, 2, dan Lufh Mikhael, 3.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintenden Charan Ai Wan berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Toyota Vios itu dari arah Sungai Sedim, Kulim menghala ke Bedong, untuk pulang ke rumah di Sungai Petani.

“Apabila tiba di tempat kejadian, tiba-tiba seekor binatang dipercayai kera melintas menyebabkan pemandunya cuba mengelak tetapi hilang kawalan, dan akibatnya memasuki laluan bertentangan sebelum terbabas di kawasan semak arah ke Kejai.

“Akibat kemalangan itu, dua mangsa telah tercampak keluar daripada kenderaan dan mengalami cedera parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pemandu dan dua kanak-kanak itu kini menerima rawatan di ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Kata beliau, ketika kejadian, Siti Norhasliza berada di bahagian penumpang hadapan, manakala ibunya duduk di bahagian belakang.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk tujuan bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN