Dua beranak lemas berpegangan tangan hingga akhir hayat - Utusan Malaysia

Dua beranak lemas berpegangan tangan hingga akhir hayat

MUHAMMAD Rosman Rohadi yang lemas bersama ibunya, Salmah Mat Zain ketika banjir di Kampung Tanjung Kanan, Kuala Nerang di Padang Terap. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: “Hubungan mereka sangat rapat dan pergi ke mana-mana pun bersama. Masa kejadian itu pun Rosman pegang tangan mak dia, mereka juga dilihat berpelukan sebelum hilang dihanyutkan arus deras”.

Demikian menurut Md. Tajuddin Awang Muhammad, 47, bapa saudara kepada Allahyarhamah Salmah Mat Zain, 46, yang dijumpai turut lemas bersama anaknya, Allahyarham Muhammad Rosman Rohadi, 19, di Kampung Tanjung Kanan, di sini.

Menurutnya, Salmah yang menyara hidup sebagai penoreh getah hanya tinggal berdua dengan anaknya di kampung itu sementara Muhammad Rosman masih belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Terap dengan mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

“Malah, mayat dua beranak itu ditemui berhampiran antara satu sama lain iaitu pada jarak kira-kira 50 meter sahaja. Itu menunjukkan mereka tetap bersama ketika dihanyutkan arus banjir ketika kejadian semalam,” katanya.

Ujar Md. Tajuddin, dia tinggal satu kampung dengan dua beranak itu tetapi jarang berjumpa antara satu sama lain namun mengakui kedua-dua arwah sangat baik.

Tambahnya, dua beranak itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat sebelum dijangka dikebumikan di Kampung Tanjung Kanan, hari ini.

Sementara itu, seorang guru kepada Muhammad Rosman iaitu Norhidayah Shaari, 40, tidak dapat menahan kesedihan kerana sudah enam tahun mengenali dan mengajar arwah di SMK Padang Terap.

“Sebaik sampai di lokasi, saya tengok tempat Rosman dan ibunya hilang sambil sebut beberapa kali Rosman timbullah, timbullah walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Alhamdulillah, tidak sampai 10 minit mayat Rosman berjaya dijumpai.

“Dia seorang yang tidak banyak bercakap, tetapi sangat baik dan bertanggungjawab. Arwah patuh segala arahan yang diberikan dan saya berhasrat untuk bantu dia menduduki Sijil kemahiran Malaysia (SKM), selain mencari pekerjaan buatnya kelak, namun semuanya tidak kesampaian,” jelasnya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan Salmah dan Muhammad Rosman hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika meredah banjir untuk pulang ke rumah mereka kira-kira pukul 8.15 pagi, semalam.

Mereka dikatakan keluar untuk membeli nasi lemak dan pulang ke rumah dengan meredah laluan ditenggelami banjir akibat limpahan sungai berikutan hujan lebat, malam kelmarin.

Mayat Muhammad Rosman yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pembelajaran ditemui di ladang kelapa sawit yang ditenggelami banjir dalam keadaan tersangkut pada sisa pelepah kelapa sawit kira-kira pukul 5.25 petang semalam sebelum mayat ibunya dijumpai kira-kira 50 meter daripadanya pada pukul 7.45 pagi ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya