BESUT: Dua bekas pengasuh sebuah taska dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan menganiaya seorang bayi perempuan di bawah jagaan mereka pada bulan ini.
Kedua-dua tertuduh, Wan Zaharah Wan Mahmud, 50, dan Nuraihan Rozelan, 26, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa sehingga menyebabkan bayi berusia setahun itu cedera pada bahagian lengan kanannya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan Wan Zaharah dan Nuraihan di sebuah taska di Kampung Raja di sini pada pukul 9.45 pagi, 5 September lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mereka juga berhadapan hukuman bon berkelaluan baik dan menjalani khidmat masyarakat jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Wan Zaharah dan Nuraihan masing-masing dibebaskan dengan wang jaminan RM8,000 dan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rabiatul Adawiyyah Mohd. Noorlee manakala Wan Zaharah dan Nuraihan pula diwakili peguam, Ghazali Ismail.
Utusan Malaysia pada 8 September lalu melaporkan dua pengasuh sebuah taska di Kampung Raja di sini ditahan bagi membantu siasatan dakwaan mendera dua bayi dalam jagaan mereka baru-baru ini.
Kedua-dua suspek masing-masing berusia 26 dan 50 tahun diberkas polis berikutan penularan satu klip video berusia 25 saat yang memaparkan insiden tersebut di media sosial.
Berdasarkan klip video tersebut, bayi terbabit yang sedang menangis didakwa telah ditarik secara kasar dari arah belakang sehingga terjatuh terlentang. – UTUSAN