IPOH: Dua anggota polis yang diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Tanjung Rambutan Jumaat lalu kerana disyaki terbabit aktiviti penyalahgunaan dadah dan ketum, telah digantung tugas.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, dua anggota berpangkat koperal dan koperal sokongan masing-masing berusia 41 dan 39 tahun itu ditahan tugas bermula hari ini.
Katanya, siasatan terhadap kedua-dua anggota itu dijalankan mengikut Seksyen 12(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
“Tempoh reman untuk mereka akan berakhir esok. Kalau perlu lagi untuk siasatan kita akan teruskan dan jika siasatan lengkap dan patut tuduh, maka kita akan tuduh.
“Untuk langkah pertama dan di bawah bidang kuasa saya di Perak, dua anggota itu telah ditahan kerja bermula hari ini,” katanya selepas Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara Kontinjen Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Terdahulu tular di media sosial kes tangkapan melibatkan tujuh anggota polis dilakukan Cawangan Risikan dan Operasi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman di sebuah rumah di Tanjung Rambutan.
Dalam serbuan sekitar jam 1.30 pagi itu didapati, anggota yang ditahan terlibat dengan aktiviti memproses dan menjual air ketum serta menjalankan perniagaan rokok tidak bercukai.
Ada anggota yang ditahan juga disyaki terlibat dengan aktiviti perjudian atas talian. – UTUSAN