Draf wajib sijil halal kepada semua restoran dibentang Kabinet Rabu

Draf wajib sijil halal kepada semua restoran dibentang Kabinet Rabu

NA'IM ketika berucap pada majlis sambutan rasmi perhimpunan Maulidur Rasul SAW 1446H/2024 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Draf mengenai cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal kepada semua restoran termasuk milik bukan Islam bakal dibentangkan kepada Kabinet pada Rabu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, beliau sendiri akan membentangkan draf ini ketika mesyuarat jemaah menteri itu.

“Insya-Allah, ia sudah pun hampir siap dan tengoklah (perkembangan berikutnya) macam mana tetapi draf mengenai isu ini sudah disediakan,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis sambutan rasmi perhimpunan Maulidur Rasul SAW 1446H/2024 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat diiringi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya.

Polemik isu ini tercetus apabila Mohd. Na’im memaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mempertimbangkan cadangan mewajibkan pensijilan halal.

Ia akan meliputi semua restoran di negara ini yang tiada disajikan daging babi dan alkohol susulan tular menerusi media sosial mengenai ada banyak premis terkenal tiada sijil itu.

Bagaimanapun, ia dibantah keras Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang dilapor berkata, cadangan baharu Jakim itu akan menambah beban peniaga dan memalukan imej negara.

Protes oleh pemimpin DAP itu namun kemudian mengundang pelbagai kritikan dan kemarahan dari umat Islam termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Salleh.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, cadangan dikemukakan kepada Kabinet itu hanya meliputi konteks sama ada wajib atau tidak kerana dasar ketika ini hanya secara sukarela.

“Kita kena lihat kegusaran orang Islam selama ini apabila mahu masuk sesuatu restoran popular yang tiada sijil itu namun premis itu pula dakwa ia tiada babi atau arak,” katanya.

Justeru ujarnya, cadangan awal yang kelazimannya memerlukan ada sesi libat urus akan diwujudkan pihak Jakim kelak setelah Kabinet bersetuju dengan draf cadangan tersebut.

Semua pandangan pemegang taruh termasuk dari persatuan restoran dan badan pengguna katanya, akan diteliti dengan pihak Jakim seterusnya melakukan kajian lebih terperinci.

Malah tegas Mohd. Na’im, sultan-sultan di kesemua negeri akan terlibat kerana isu pensijilan halal merupakan hal ehwal agama Islam yang tertakluk di bawah bidang kuasa baginda.

Ditanya apakah sijil itu kelak akan diwajibkan kepada semua restoran atau ada perbezaan antara dimiliki bukan Muslim dengan Muslim, beliau berkata, isu itu belum lagi diputuskan.

“Saya tidak boleh bercakap sehinggalah kajian Jakim ini selesai dan ketika itu barulah boleh ditentukan sama ada perlu dimuktamadkan atau melihat kesesuaian tertentu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN