PETALING JAYA: Penyanyi Indonesia, Mahalini nekad membuat laporan polis terhadap seorang individu yang mendakwa dia menjalin hubungan sulit dengan seorang rakan sekerjanya.
Menerusi perkongsian di Instagram Story, Mahalini turut mendedahkan pemilik akaun TikTok yang dikenali sebagai Hazwa yang didakwa sudah lama mengganggu kehidupannya sejak belum berumah tangga bersama penyanyi, Rizky Febian.
“Untuk semua yang ‘termakan’ berita yang tidak enak di luar sana, saya mohon maaf atas perkara tersebut. Itu semua tidak benar. Akaun yang bernama Hazwa_ di TikTok memang mengundang pergaduhan fitnah.
“Dari dulu sudah mengusik saya dan suami sebelum menikah. Dia buat konten yang tidak masuk akal bersama kapsyen yang tidak ada bukti sehingga orang lain percaya. Saya dan suami baik-baik sahaja.
“Saya sudah hantar dm dekat individu tersebut untuk meminta bukti,” katanya yang turut berkongsi beberapa tangkap layar.
Menurut Mahalini, dia juga sudah berhubung dengan individu tersebut untuk kemukakan bukti menerusi pesanan terus namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas.
Tambah penyanyi lagu Sial itu lagi, Rizky sempat meninggalkan komen dan meminta individu tersebut berhenti membuat fitnah yang turut memberi kesan kepada keluarganya.
“Dia tutup komen. Tapi konten yang ramai orang tengok dia masih biarkan sahaja. Komen positif daripada fans saya dia padam dan block. Dia sepatutnya percaya dengan konten yang dimuat naik dan respons kembali kepada saya dan suami.
“Suami saya juga ada komen. Jujur saya terkesan kerana sudah melibatkan ibu bapa dan keluarga saya serta kerjaya saya sangat terganggu,” jelasnya.
Susulan itu, Mahalini yang nekad membuat laporan polis tersebut selepas tiga jam memberikan tempoh kepada individu itu.
“Baiklah, bererti kamu tidak ada bukti ya? Sudah tiga jam awak tak balas mesej saya tapi awak boleh tag saya. Kita jumpa nanti ya. Saya betul-betul tidak berdiam diri dari semalam,” katanya. -UTUSAN