PETALING JAYA: Pelakon, Datin Intan Najuwa tenang memberi respons kepada netizen yang menyamakan imejnya yang berambut pendek persis salah satu karakter dalam cerita kartun Popeye, Olive Oyl.
Menerusi sebuah rakaman video yang tular di TikTok, Intan menegaskan dia tidak kisah dengan sebarang kutukan netizen mengenai penampilannya terkini asalkan dirinya bahagia.
“Saya tak kisah macam girlfriend popeye ke, macam girlfriend shrek ke, macam girlfriend sesiapa pun tak kisah, yang penting saya gembira rambut panjang ke pendek.
“Saya tak guna duit anda untuk gunting rambut. Suami saya suka. Saya tak perlu minta kebenaran awak dan suami awak. Biarlah macam girlfriend popeye ke apa asalkan saya bahagia. Hati saya tenang dan tak ada hasad dengki, hati saya tak busuk.
“Yang penting, hidup saya bahagia. Kutuklah apa pun, Alhamdulillah, Allah berikan ketenangan hati. Mungkin tak pernah kacau orang atau busuk hati dengan orang. Allah bagi ganjaran dekat saya supaya kekal tenang dan juga bahagia selalu,” katanya.
Intan bagaimanapun menyifatkan individu yang menegur penampilannya itu seorang yang tidak beradab dan perlu belajar berkomunikasi dengan orang yang tidak kenali.
Tambahnya, dia bukanlah kawan mahu pun ahli keluarga individu tersebut yang sesuka hati bergurau sedemikian.
“Cuba awak semua macam saya, tak perlu kisah pasal orang tentu hidup awak semua akan gembira. Bagi saya benda itu sensitif. Awak tak kenal orang itu tapi cakap pasal orang itu.
“Dia macam tak elok. Mungkin awak perlu belajar adab dan mungkin kena belajar cara nak tegur orang yang anda tak kenal. Saya bukan kawan awak ataupun keluarga awak. Tak semua orang dalam dunia ni kawan awak dan boleh teguran awak,” tegasnya.
Enggan mengambil pusing dengan komen negatif itu, Intan turut memberikan respons kepada peminatnya yang memuji hidungnya tidak kelihatan kembang biarpun berbadan dua.
Intan berkata, berat badannya sudah meningkat sebanyak sembilan kilogram sepanjang hamil anak sulungnya itu.
“Belum kembang lagi, sabar. Saya dah naik berat badan banyak ni. Daripada 41 naik 9 kilogram. Tak pernah naik sebanyak itu.
“Mak saya cakap normal sebab nak sedapkan hati saya. Sebelum saya kahwin, saya tak pernah lebih dari 43 kilogram. Muka saya dah macam donut,” jelasnya.
Terdahulu, Intan dan suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman mengumumkan mereka bakal menimang cahaya mata perempuan.
Untuk Info, Intan dan Azraf telah mendirikan rumah tangga pada 18 Ogos tahun lalu.-UTUSAN