PETALING JAYA: Polis percaya dianggarkan kira-kira 10,000 ahli Global Ikhwan and Services Berhad Holdings (GISBH).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan awal mendapati jumlah tersebut melibatkan keseluruhan ahli termasuk kanak-kanak.
“Kita anggarkan jumlah ahli GISBH kira-kira 10,000 ahli termasuk kanak-kanak,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan dan menyeru ahli GISBH yang melarikan diri tanpa arah tuju dan tidak mempunyai tempat tinggal tampil kepada pihak berkuasa supaya dapat dibantu.
Katanya, dengan berteraskan ihsan dalam Rukun Madani Kerajaan Malaysia yang cukup sinonim dengan kepedulian dan belas kasihan, polis amat prihatin terhadap ahli-ahli GISBH yang melarikan diri tanpa arah tuju serta tidak mempunyai tempat tinggal.
“Kita menyeru mereka tampil kepada pihak berkuasa agar Kerajaan Malaysia dapat memberikan bantuan yang sewajarnya dalam pelbagai bentuk termasuk kebajikan dan sokongan psikologi.
“Selain itu, mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta untuk tampil membuat laporan bagi sekian kalinya di mana-mana balai polis berhampiran untuk kita melengkapkan siasatan terhadap kes ini secara tuntas dan menyeluruh.
“Orang ramai juga dinasihatkantidak membuat sebarang spekulasi hingga boleh mengganggu siasatan yang sedang dijalankan di mana-mana platform media sosial atau massa,” katanya. – UTUSAN