SHAH ALAM : Pelakon sensasi, Nur Fazura enggan berkongsi sebarang komen mengenai kewujudan pelbagai spekulasi rumah tangganya dengan Fattah Amin.
Bagaimanapun, secara ringkas, Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin berkata, dia kekal tenang dengan ujian yang menimpa sejak nekad memfailkan cerai pada 13 September lalu.
“Tiada apa-apa yang hendak saya komen hari ini. Sebagai isteri dan ibu saya hanya mahukan yang terbaik,” katanya.
Fazura berkata demikian semasa ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada Rabu bagi sebutan permohonan cerai yang dibuat.
Pada masa yang sama, Fazura berpendapat, tindakan berdiam diri pada waktu ini adalah lebih baik supaya tidak timbul sebarang salah faham yang lebih teruk berhubung perceraiannya dengan Fattah.
“Berdiam lebih baik. Keadaan saya tenang sahaja,” ujarnya.
Pada prosiding yang berlangsung di hadapan Hakim Syarie Abdul Malek Soleh itu Fattah turut hadir dengan cadangan perbincangan tentang perceraian mereka.
Menurut peguam syarie yang mewakili Fazura iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan pihaknya akan meneliti cadangan tersebut sebelum sebutan semula kes pada 7 Oktober depan.
“Kami terima satu cadangan daripada pihak Fattah berkaitan permohonan. Cadangan itu tidak boleh didedahkan dan kami akan meneliti terlebih dahulu.
“Pihak-pihak akan berbincang untuk selesaikan secara baik tanpa melibatkan Jawatan Kuasa Pendamai (JKP),” jelasnya.
Untuk rekod, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya, 3 tahun.