PETALING JAYA: “Tidak ramai yang tahu saya berdarah Kelantan.”
Demikian kata penyanyi, Aisha Retno selepas menerima kecaman daripada netizen mengenai dialek Kelantan menerusi lagu terbaharunya, Samudera.
Aisha berkata, dia tidak kisah apabila dikecam sebaliknya mahu mencabar dirinya untuk menghasilkan lebih banyak lagi lagu yang mengetengahkan budaya negeri Kelantan.
“Sebelum ini, saya selalu tonjolkan perwatakan Jawa. Sebenarnya, bapa saya orang Kelantan. Bila dikecam begini buat saya rasa lebih semangat nak keluarkan lagu macam ini lebih banyak lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Aisha lagi, dia juga mengambil masa yang lama untuk belajar dialek tersebut kerana sedar dirinya belum mahir untuk bertutur dalam bahasa Kelantan.
“Lagu ini juga buat saya sedar budaya dia luas sebenarnya dan bila dikecam saya rasa tak apalah, dah kalis peluru.
“Selain dialek, saya turut dikecam dari segi pakaian dan cara menari. Tapi saya anggap mereka prihatin sebab tak dinafikan memang dialek saya teruk.
“Saya belajar dengan orang Mak Yong supaya kedengaran lebih fasih. Saya juga mengambail masa yang lama juga untuk mahirkannya,” jelasnya.
Sebelum ini, Aisha telah muncul dengan lagu terbaharunya, Samudera yang mengetengahkan dialek Kelantan.
Namun, lagu itu telah mengundang pelbagai kritikan daripada warganet terutamanya dialek Kelantan penyanyi itu. -UTUSAN